Penat masih terasa, kesedihan masih belum reda dan inilah adatnya,ada kalah dan menang. yang kalah akan redha dengan kekalahan dan yang menang berikan perkhidmatan yang terbaik. Tahniah buat UMNO yang menang besar di Bagan Pinang. Dan buat Pakatan Rakyat perjuangan menegakkan keadilan untuk semua rakyat masih belum berakhir.
Kemenangan Tan Sri Isa Samad yang mewakili UMNO dengan majoriti 5435 undi dengan peningkatan sebanyak 2802 undi berbanding majoriti yang diperolehi BN pada PRK 12 iaitu 2333 undi. Ini adalah pilihan rakyat Dun Bagan Pinang. Semua pihak harus menerimanya secara terbuka dan ianya juga menunjukkan suburnya demokrasi di negara kita walaupun kemenangan besar BN ini telah mengundang kesedihan di kalangan penyokong Pakatan Rakyat.
Walaupun pada peringkat awal PAS melalui Presidennya Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang telah membuat kenyataan bahawa kemenangan PAS di Bagan Pinang adalah terlalu sukar tetapi ianya tidak mustahil berlaku berdasarkan sokongan terhadap PAS di beberapa kawasan tapi ternyata ada kesilapan yang harus diteliti oleh PAS dan Pakatan Rakyat. Pos motem kekalahan perlu dilihat dari semua aspek. Bagaimana PAS telah mengalami kekalahan yang agak teruk sepanjang siri PRK untuk tahun 2009. Di mana silapnya. Apakah PAS akan menuding jari pada BN yang menggunakan segala jentera kerajaan untuk memastikan kemenangan atau PAS akan tetap menyalahkan UMNO kerana terlalu banyak menyogokkan wang dalam PRK Bagan Pinang atau PAS akan tetap dengan sikap menyalahkan orang lain tanpa melihat kelalaian sendiri.
Dalam siri ceramah sepanjang kempen yang sempat saya hadiri sambutannya agak menggalakkan tetapi apakah mereka yang ada dalam siri ceramah itu adalah pengundi yang akan mengundi di DUN Bagan Pinang. Apa yang jelas yang ramai mendengar ceramah adalah terdiri dari penyokong-penyokong Pakatan Rakyat yang datang dari luar dan bukannya pengundi di DUN berkenaan. Keadaan ini menyebabkan kita hanya syok sendiri berceramah pada hal mesej yang hendak disampaikan kepada pengundi tempatan tidak tercapai. Ini berbeza dengan BN yang menggunakan saluran media perdana yang menyampaikan terus mesej mereka ke dalam rumah tanpa bersusah payah berpanas dan berhujan dan yang pasti pengundi tempatan lah yang mendengar mesej mereka.
Inilah salah satu sebab kenapa PAS mengalami kekalahan yang teruk kerana mesej yang hendak disampaikan oleh PAS kepada pengundi tempatan tidak sampai. Yang ramai mendengar hanyalah penyokong dan pelancong politik yang datang dari luar.
Walaupun PAS melalui ceramahnya bertubi-tubi mengingatkan pengundi Dun Bagan Pinang supaya tidak memilih calon yang telah disabitkan dengan kesalahan rasuah politik ( Politik Wang) dan pernah digantung dalam UMNO tetapi ianya belum cukup kuat untuk meyakinkan pengundi di DUN Bagan Pinang kerana UMNO juga mempunyai cara untuk menangkisnya dengan cara mengedarkan risalah -risalah yang menerangkan tentang salah laku Dato' Seri Anwar Ibrahim yang juga disabitkan dan dipenjarakan selama 6 tahun. Pengundi di DUN Bagan Pinang akan cuba membuat perbandingan bahawa sekiranya Dato' Seri Anwar Ibrahim dapat diterima oleh pengundi di Parlimen Permatang Pauh setelah 6 tahun dipenjarakan kenapa mereka tidak boleh memilih Tan Sri Isa Samad yang hanya digantung dalam UMNO atas sabitan politik wang.
Mungkin kerana inilah pengundi di DUN Bagan Pinang memilih Isa Samad dengan majoriti yang agak besar serta mereka juga telah banyak terhutang budi dengan Isa samad yang banyak berjasa sepanjang mentadbir Negeri Sembilan.
Yang menang tahniah dan teruskan khidmat dan yang kalah cari formula yang terbaik untuk mendapatkan kemenangan. Berhenti dari menuding jari tetapi berfikir untuk mencari kelemahan dan memperbaiki serta mengatur strategi yang lebih berkesan dalam mendapatkan hati rakyat dalam pilihan raya ke 13 nanti.
wassalam
Pak Katib
12 Oktober 2009