Kenapa kita perlu tolak UMNO


Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang bakal menyusul 7 April ini. Itu yang diputuskan oleh SPR walaupun keputusan itu dilihat lebih memihak kepada UMNO-BN yang masih panas dengan isu Perak. Pemilihan UMN0 2009 nampaknya tidak begitu memberi ruang sekiranya pilihanraya kecil Parlimen Bukit gantang ini diadakan dalam waktu terdekat.


Bila pun tarikhnya, bagi Pakatan Rakyat ianya bukanlah perkara utama. Yang penting ialah jentera kerja Pakatan Rakyat khususnya di kalangan ahli PAS telah pun membuat persediaan awal dalam memberi penerangan dan penjelasan yang sebenar kepada pengundi-pengundi di Parlimen Bukit Gantang.


Pilihanraya kecil ini yang menyaksikan bekas ketua penerangan UMNO Ismail Saffian yang kalah kepada Dato Rosli ketika merebut Ketua Bahagian UMNO telah dipilih oleh Dato Najib untuk menjadi calon BN di Parlimen Bukit Gantang. Apakah kewajaran pemilihan Ismail Saffian hanya orang-orang kuat dalam UMNO yang tahu walaupun ada desan desus yang terdengar bahawa Ismail Saffian bukanlah kehendak Dato' Najib sebenarnya. Orang UMNO Bukit gantang mungkin ada cerita tersendiri selepas ini. Kejayaan Ismail Saffian melobi sebagai calon mungkin tidak disenangi oleh beberapa puak dalam UMNO. Rekod kalah kepada Dato Rosli sebenarnya petanda bahawa Ismail Suffian bukanlah calon "kegemaran" UMNO Bukit Gantang. Apakah nanti akan wujud puak-puak " cas keting" dalam UMNO di Bukit Gantang sepertimana yang berlaku di beberapa kawasan dalam pilihanraya umum ke 12 lalu yang menyaksikan UMNO-BN tersungkur.


Samada wujud atau tidak puak-puak sebegini, orang UMNO sahaja yang tahu. Pengundi-pengundi Bukit Gantang sudah pasti tidak mahu kelompok-kelompok begini sekiranya parti yang diwakili mereka selalu berpecah belah sesama sendiri.


Apakah wibawa Ismail Suffian? Apa jasa-jasanya selama ini? kenapa beliau kalah dalam pemilihan Ketua Bahagian? Apakah kerana bersandarkan anak tempatan beliau mampu membawa perubahan kepada bumi Bukit Gantang? Apa pula janji-janji kosong yang ditaburkan UMNO-BN? Apa rasionalnya Dato' Najib awal-awal lagi membuat kenyataan bahawa tidak akan ada kelulusan "projek segera" di Parlimen Bukit gantang? Apakah relevennya UMNO-BN dalam senario politik sekarang? Persoalan-soalan sebegini sudah pasti akan terngiang-ngiang di kepala pengundi Bukit Gantang. Sekiranya BN berjaya menakluki Bukit gantang ini, apakah janji-janji pilihanraya akan ditunaikan?


Jawapan kepada ketakutan ini sebenarnya tak perlu ditunggu jawapannya kerana sudah pun terjawab. Bukti UMNO yang melaung-laungkan "hidup Melayu" hanyalah laungan kosong. Melayu memang hidup tapi terpaksa mengemis di bumi sendiri. Ekonomi Melayu semakin terhimpit. Miskin tegar di kalangan masyarakat Melayu makin bertambah. Biasiswa yang dulunya diberi keistemewaan kepada orang Melayu yang miskin untuk belajar telah bertukar kepada PTPTN yang mewajibkan bayaran berserta dengan kos pengurusan. Dana yang disalurkan melalui TEKUN pula perlu mendapatkan sokongan daripada wakil rakyat atau penghulu dari kerajaan Pusat (Yang menyokong UMNO) ( bukan semuanya, tapi sesetengah tempat. tak percaya, tanya orang yang pernah membuat pinjaman dengan TEKUN).

Dalam memperbaiki ekonomi masyarakat Melayu, UMNO masih belum mampu menjana idea ke arah mewujudkan satu impak yang berkesan agar Melayu mampu melonjak ke atas dari segi ekonomi berbanding kaum lain. cuba lihat perangkaan yang dikeluarkan hasil siasatan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi pendapatan di bawah RM1000.00 tahun 2007 ( ruj: http://www.scribd.com/doc/10403091/PecahanPendapatanrakyat) . Jelas sekali bahawa kaum Melayu yang paling ramai iaitu 301,000 isi rumah berbanding kaum Cina 50,900 dan India 29,300. Manakala selebihnya ialah kaum-kaum lain dengan jumlah isi rumah keseluruhan ialah 496,500.


Walaupun Malaysia ini didominasikan oleh orang Melayu yang telah lama mewarisinya dari nenek moyang mereka namun orang Melayu masih lagi ke belakang dan tidak mampu bersaing dengan kaum lain. Petanda ini jelas bahawa UMNO yang melaungkan "hidup Melayu" gagal membawa Melayu ke mercu kejayaan dan mampu menguasai ekonomi di bumi sendiri.


Dari segi pendidikan, pelajar Melayu masih ramai tercicir. Tidak dinafikan sejak akhir-akhir ini banyak kejutan yang kita dengar tentang orang Melayu mampu meraih berpuluh-puluh A dalam SPM. Tapi apakah memadai dengan seorang dua yang berjaya lalu kita mendabik dada bahawa inilah dasar kita yang ingin melihat Melayu maju dalam pelajaran. bagaimana pula yang lain. Apakah kerana mereka ini malas atau pendekatan dan dasar pelajaran membebankan mereka dan menghilangkan rasa minat mereka terhadap pelajaran.


Perlaksanaan PPSMI di sekolah yang mewajibkan pelajar belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris sekali lagi mengundang padah kepada anak-anak Melayu. Walaupun bahasa Inggeris ini adalah bahasa ilmu pada peringkat global tapi ianya tidak bersesuaian dengan masyarakat Melayu yang masih lagi terkontang-kanting dalam memahami bahasa Inggeris. Apakah masih belum cukup untuk kita belajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Melayu sedangkan negara-negara seperti Jepun, Korea dan negara maju lain berbangga dengan bahasa sendiri sebagai bahasa ilmu. Apakah kerana "keegoan politik" sampai sanggup kita memperjudikan anak bangsa kita yang semakin hari semakin tenggelam dalam pendidikan. Kedegilan pemimpin-pemimpin dalam UMNO untuk mendengar suara rakyat inilah menyebabkan rakyat semakin muak dan tawar hati untuk bersama-sama UMNO-BN.


UMNO-BN juga dilihat sebagai " double standard" dan pilih kasih dalam pemberian projek. siapa yang kuat melobi, dia lah yang akan dapat habuan. "Kronisme" ini sudah menjadi budaya dalam UMNO-BN. Untung atas angin yang diperolehi dari projek-projek yang disalurkan kepada rakyat hanya akan menyusahkan rakyat sendiri. Projek yang nilainya berbilion ringgit sudah pasti yang boleh di menafaat oleh rakyat tidak sampai nilai sebenar. Ke mana selebihnya? tanyalah orang-orang yang menghadiahkan projek. mungkin ada perkiraan di belakang tabir atau lebih senang dipanggil " business deal". Hanya dengan bagi projek, dapat untung atas angin berjuta ringgit. Rakyat hanya dapat jambatan kayu walaupun pada hakikatnya nilai yang diperuntukan adalah menyamai jambatan besi.


Perlaksanaan dan penguatkuasa undang-undang sudah menjadi seperti sarang labah-labah. Kesalahan yang melibatkan orang-orang kecil sudah pasti tersungkur di Mahkamah, tapi kesalahan yang melibatkan orang-orang penting hanya terperap di peti besi. Saya tidak berani mengulas panjang tentang isu perundangan kerana saya bukan dalam bidang undang-undang dan takut wujud kesalahan atau percanggahan fakta yang mungkin boleh membawa saya ke Mahkamah.


Sejak akhir-akhir ini juga banyak kes yang dihadapkan ke Mahkamah atas kes kenyataan yang berbau hasutan mengikut pandangan UMNO. Apakah luahan rakyat itu dilabelkan sebagai hasutan. sampai bilakah pandangan rakyat akan dikurung di kawat besi. bagaimana pula kes yang melibatkan penyokong UMNO di Kuala Terengganu yang terang-terangan menghina sultan dengan kain rentang " kami nak Deris Natang". Apakah orang yang membawa dan mereka yang terlibat itu di bawa ke mahkamah. Tidak pula saya dengar di TV atau radio atau mungkin saya terlepas pandang. sekiranya kes ini tidak di bawa, maka jelaslah UMNO hanya tahu menggunakan undang-undang mengikut acuan sendiri. Siapa yang menyokong akan diberinya susu dan siapa yang menentang akan diberinya racun. Sikap " Double standard ini mencerminkan sikap UMNO sebenar". " Pak Hangguk" dalam UMNO-BN hanya tahu mengangguk. Entah bila akan berhenti mengangguk, apakah tunggu UMNO-BN ditalkinkan di Malaysia.


Banyak lagi sebab-sebab kenapa kita semua tak kira Melayu, Cina dan India patut tolak UMNO-BN. Sampai bilakah lagi kita hanyut dalam momokan sandiwara BN ini. Irama-irama songsang BN sebenarnya tidak akan menjanjikan apa-apa yang berfaedah untuk kita. sudah berapa kali kita terantuk tapi tak juga sedar-sedar. bangunlah dari tidur yang nyenyak, mimpi yang sumbang, maya yang kelam. Pakatan rakyat sememangnya menjanjikan yang terbaik untuk rakyat. Tumbangkan UMNO dan pastikan kemenangan Pakatan Rakyat.


Wallahuaallam


-Pak Katib


17 mac 2009

5 comments:

Laksamana Sunan said...

Marilah kita rakyat Malaysia sama2 kuburkan UMNO yang penuh dengan rasuah yang meloyakan ini...sama2 kita tolak rasuh,kita cuba kerajaan baru,jika kerajaan baru juga amal rasuah,sama2 kita tolak ia.jadilah kita rakyat Malaysia yang mewakili diri kita sendiri,bukan puak orang lain.

Anonymous said...

bagus tu..memang setuju sangat...biar UMNO yang dah nyanyuk tu.. hilang terus pun tak pe

Unknown said...

Salam Pak Katib...

Pertamanya saya setuju dengan pendapat Pak Katib mengenai dasar PPSMI yang sedang dilaksanakan disekolah sakarang.

Mengikut kajian yang dilakukan oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina). PPSMI hanya mampu menyumbang pada tahap paling minimum, iaitu kurang empat peratus kepada peningkatan pencapaian Bahasa Inggeris secara keseluruhannya. Malangnya PPSMI telah membawa banyak keburukan daripada kebaikan. PPSMI telah dan akan membunuh minat, semangat dan keghairahan murid-murid untuk belajar Sains dan Matematik sejak di peringkat sekolah rendah lagi.Kajian ini dibuat oleh 53 pakar bahasa daripada beberapa buah universiti tempatan dan melibat lebih 15 ribu orang yang dijadikan sampel.

Tetapi sebaik dan setepat mana kajian sekalipun masih ada orang UMNO yang tetap menyokong dasar ini. Baru-baru ini Ketua Bahagian UMNO Pasir Puteh yang baru dinobatkan, Zawawi Othman telah menyerahkan memorandum kepada JPN Kelantan. Memorandum tersebut ialah mendesak kerajaan supaya PPSMI ini terus dilaksanakan disekolah. Beliau mengatakan tiada bukti pelajar-pelajar di luar bandar seperti di Jeli, Gua Musang dan Kuala Krai merosot dalam pelajaran mereka kerana perlaksanaan PPSMI.

Inilah UMNO mereka meyokong sesuatu perkara atau dasar bukan melihat kepada dasar itu sama ada baik atau tidak baik, boleh memberi manfaat kepada rakyat atau sebaliknya tetapi menyokong kerana kepentingan. Kepentingan ini ialah projek dan duit.

Zawawi ialah kroni Hishamuddin. Untuk pemilihan kali ini Hishamuddin telah mengarahkan Zawawi supaya membahagikan semua projek yang telah diberikan melalui Kementerian Pelajaran kepada semua perwakilan UMNO Pasir Puteh yang akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO Mac ini. Tak kedengaran bahagian UMNO lain yang membuat memorandum seperti ini, barangkali Zawawi mendapat imbuhan yang banyak dari Hishamuddin.

Sebenarnya budaya seperti inilah yang sedang berlaku dalam UMNO. Budaya rasuah, kronisme, menyokong membabi buta, buta kepada kebenaran, salah guna kuasa, dan melanggar hukum Tuhan telah membarahi dan menjadi darah daging kepada UMNO. Penyakit seperti ini tidak ada ubatnya. Kalau manusia umurnya tidak panjang dan ajalnya hampir tiba.

Justeru itu saya tidak setuju dengan ura-ura dan cadangan untuyk mengadakan kerajaan perpaduan atau campuran dan kerjasama dengan UMNO. Masalah dalam negara tidak akan selesai jika membuat kerjasama dengan pemimpin yang telah rosak dan punah seperti ini. Apatah lagi kerosakan dan kepunahan itu tidak boleh diperbaiki dan diubati lagi.

UMNO perlu merintih kekalahan dalam pilihan raya dan merasai kehilangan kuasa. Selepas itu barulah mereka insaf dan sedar betapa banyak kerosakan yang telah mereka lakukan terhadap negara. Masa inilah mereka akan bertaubat dan kembali ke jalan yang benar.

Kita tidak mahu UMNO berkubur dan dibubarkan. Biar UMNO terus hidup tetapi hidup sebagai pembangkang untuk menebus kembali dosa-dosa yang telah mereka lakukan kepada rakyat.

Wassalam
Mat Jet

"."

WARUNG PAK KATIB said...

Terima kasih buat Mat Jeb atas input ini. Pendedahan seperti ini harus kita sebarkan agar rakyat tahu siapa sebenarnya pemimpin UMNO yang hanya tahu menjadi penglipur lara untuk mengaburi mata rakyat.

Wassalam

Pak Katib

Anonymous said...

Apa kata kalau kita ramai-ramai masuk umno balik dan kita tumbangkan pemimpin yang ada dari dalam. Tak payahlah berkokok umno banyak salah. Pkr pun apa kurang....sama je
Fikirlah kalau anwar tak ada. sape dalam pkr yang boleh memacu orang melayu ke arah perobahan yang dilaungkan. fikirkan