teka teki, misteri sidang DUN


IPOH: Adakah krisis politik Perak yang bermula awal Februari lalu akan menemui titik akhir menerusi perasmian sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pagi ini?
Ataupun ia akan membawa satu lagi detik yang akan merumitkan krisis politik yang berusia tiga bulan ini.


DUN mengadakan mesyuarat pertama penggal kedua sesi ke-12 bermula pagi ini - pada minggu terakhir sebelum luputnya tempoh enam bulan sejak pertemuan terakhir November lalu.
Dalam sejarah lima dekad DUN Perak, ini kali pertama sidang Dewan mendapat tumpuan meluas banyak pihak dari dalam dan luar negara.


Malah buat kali pertama, lebih 100 wartawan memohon untuk mendapatkan pas khas liputan di sebalik keputusan awal sekretariat SUK yang mahu mengehadkan bilangan kehadiran media atas alasan batasan ruang dalam Dewan.


Selain itu, ini juga kali pertama pasukan keselamatan mempertingkatkan kawalan sehingga ke satu paras yang "terlalu ketat" termasuk memulakan pengawasan rapi sejak lewat petang semalam.


Sidang kali ini akan dirasmikan oleh Raja Muda Raja Nazrin Sultan Azlan Shah kira-kira 9.30 pagi nanti.


Sidang kali ini, yang dirasmikan buat kali kedua selepas pilihan raya umum ke-12 Mac 2008, juga menyaksikan perasmian disempurnakan dengan parti berlainan menerajui kerajaan negeri.
Ketika sidang DUN dirasmikan setahun yang lalu, kerajaan negeri Perak diterajui parti pimpinan Pakatan Rakyat - yang dianggotai PAS-PKR-DAP.
Hari ini BN mengetuai kerajaan negeri dengan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar.


Di sebalik perasmian sidang DUN hari ini, banyak pihak menimbulkan persoalan dan ingin melihat perkembangan-perkembangan susulan dengan "dekat" tentang beberapa isu.
Pelbagai spekulasi ditimbulkan.


Antaranya sama ada sidang DUN akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang pertikaman lidah dan pertelingkahan di kalangan anggota DUN.
Speaker DUN, V. Sivakumar ketika ditemui melahirkan kebimbangan bahawa anggota-anggota Dewan akan menimbulkan persoalan-persoalan yang boleh mencetuskan suasana tidak senang ketika sidang.


Justeru, beliau telah pun memohon Sultan Perak Sultan Azlan Shah agar menangguhkan persidangan kali ini.


Ketika ditanya apa keputusan yang bakal dibuat pagi ini, Sivakumar enggan mendedahkannya.
Bagaimanapun beliau berkata telah memutuskan tiga hingga empat perkara penting.
Manakala di sebelah pihak lagi, Zambry mengharapkan sidang akan berjalan mengikut agenda yang telah ditetapkan.


"Kami ikut peruntukan undang-undang. Oleh itu, kami berharap sidang akan berjalan dengan lancar," katanya.


Agenda pagi ini memfokuskan kepada dua usul yang dibawa BN iaitu menyingkirkan Sivakumar dan digantikan dengan wakil BN.
Di sebalik usul itu dipercayai bahawa akan ada pihak yang mungkin menimbulkan persoalan tentang status Zambry dan enam Exco yang lain, yang telah digantung Speaker daripada menghadiri sidang Dewan, dan kedudukan tiga wakil rakyat Bebas.


Sidang ini diadakan ketika kes mengenai kesahihan pelantikan Zambry yang dikemukakan oleh Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin masih didengar mahkamah.


sumber : mstar

No comments: