Bukit Gantang- Siapakah yang berhak menaklukinya


29 Mac akan terjawab siapakah calon yang layak untuk bertanding dalam Pilihanraya Kecil parlimen Bukit Gantang. Masing-masing akan meletakkan calon yang mampu meraih undi kedua-dua belah pihak. BN sudah pasti akan meletakkan calon yang berwibawa apatah lagi Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang akan menjadi penentu kepada sokongan rakyat terhadap barisan nasional yang dilihat sekarang ini sudah semakin malap di Perak.


Krisis politik yang mempertontonkan taktik dan corak pengambil alihan kuasa secara yang diragui walaupun mendapat perkenan sultan sedikit sebanyak akan dinilai oleh rakyat tentang kewajaran mereka dalam memberi undi kepada BN.


Bagi PAS dan Pakatan Rakyat, Bukit Gantang adalah medan terbaik untuk menguji sejauh mana rakyat bersama Pakatan Rakyat. Kelebihan mungkin berpihak kepada PAS apabila beberapa isu yang berlaku di Perak telah mengundang simpati rakyat dan PAS sendiri mempunyai calon-calon yang berwibawa serta ketokohan yang tinggi. Rekod bersih yang dibuktikan oleh Allayarham Roslan Shaharom ketika mewakili Parlimen Bukit Gantang tetap akan dikenang. PAS juga dilihat mampu mengekalkan kerusi parlimen Bukit Gantang berdasarkan sokongan padu rakyat di tiga DUN yang berada di bawah naungan Parlimen Bukit Gantang.


Parlimen Bukit Gantang yang mempunyai 3 DUN iaitu Changkat Jering, Trong dan Kuala Sepetang dengan jumlah pengundi seramai 55,471 orang yang mempunyai peratusan kaum Melayu lebih tinggi iaitu 63.48% berbanding dengan kaum Cina 26.77% dan India 9.71% manakala selebihnya adalah pengundi dari lain-lain kaum.


Berdasarkan daftar pemilih bagi pilihanraya umum ke -12, DUN Changkat Jering mempunyai jumlah pengundi seramai 24,864 orang dengan pengundi Melayu sebanyak 63.55% manakala pengundi Cina dan India pula masing-masing 25.80% dan 10.58%. selebihnya disumbangkan oleh lain-lain kaum yang menjadi pengundi berdaftar di DUN Changkat Jering.


Kalau dilihat dari segi peratusan pengundi berdaftar, Pengundi Melayu Masih lagi menjadi penyumbang terbesar kepada kalah dan menang dalam PRK Parlimen Bukit Gantang. Sasaran bagi parti-parti yang bertanding dalam meraih undi sudah tentu memusatkan kepada pengundi Melayu. Walaubagaimana pun Pengundi Cina yang sebelum ini cukup sinonim dengan BN akan memberi kejutan dan mampu menundukkan calon BN di Bukit Gantang nanti. Pengundi Cina telah pun membuktikan bahawa mereka sebenarnya muak dengan BN apabila memberi kemenangan yang besar kepada PKR di Changkat Jering.


Kita mungkin dapat bayangkan isu-isu yang bakal di bawa oleh parti-parti yang bertanding nanti. BN sudah pasti akan melobi pengundi di Parlimen Bukit Gantang dengan isu derhaka. Bagi BN, isu ini sudah pasti mampu membeli mod pengundi untuk memilih Barisan Nasional. Isu ini bagi rakyat Perak sebenarnya bukanlah menjadi isu yang besar. Rakyat Perak sebenarnya telah pun dipertontonkan dengan gelagat penyokong BN di Terengganu, Perlis, Kelantan, Selangor dan yang paling dahsyat apabila penggubalan undang-undang terhadap kekebalan raja-raja Melayu oleh Tun Dr. Mahathir pada 1993.


Isu derhaka yang dimainkan oleh BN khususnya UMNO di Perak adalah semata-mata untuk mengalih pandangan terhadap kebiadaban UMNO merampas Perak secara tidak mengikut perlembagaan Perak. BN hanya berselindung di sebalik Istana dengan mencanang di media massa bahawa merekalah kerajaan yang sah. Krisis politik Perak yang berlanjutan dari satu babak ke satu babak akan dinilai oleh rakyat dan keputusannya akan dijawab melalui kertas undi di Bukit Gantang nanti.


Seperkara lagi yang bakal dinilai oleh rakyat ialah kesanggupan BN berkerjasama dengan wakil rakyat Changkat Jering yang melompat parti dan menjadi Adun Bebas semata-mata untuk membentuk Kerajaan percuma di Perak. Rata-rata rakyat Perak sudah tahu dan satu Malaysia juga sudah maklum bahawa Adun Changkat Jering dan Behrang ini masih dalam kes mahkamah kerana terlibat dengan rasuah. UMNo-BN yang selama ini bermati-matian ingin membasmi rasuah dengan menaiktarafkan BPR kepada SPRM telah sekali lagi cuba menipu rakyat dengan mempelawa Adun yang mempunya kes rasuah berada bersama-sama mereka.
Keputusan BN ini menjadikan rakyat Perak semakin hilang keyakinan dan mengandaikan bahawa BN hanya tahu melakonkan watak "Pak Dogol dan Samat" di sebalik cadar putih berlampukan pelita minyak tanah.


Di Kuala Sepetang pula banyak pemerhati politik mengandaikan BN akan tersungkur lebih teruk berbanding dengan pilihanraya ke 12. Keadaan ini wujud akibat beberapa sentimen yang dimainkan oleh BN yang lebih banyak memihak kepada kaum Melayu. Isu pemberian geran oleh MB Nizar yang ditentang oleh pemimpin BN sedikit sebanyak menggusarkan pengundi Cina untuk terus memilih BN. BN dilihat sebagai " double standard" yang hanya menganugerahkan tanah kepada "tokey-tokey" Cina yang kaya sahaja dan meminggirkan masyarakat Cina yang miskin. Kebangkitan masyarakat Cina untuk terus bersama Pakatan Rakyat terserlah dalam beberapa ceramah yang dianjurkan oleh PAS dan pakatan Rakyat. Kalau dulu, masyarakat Cina jarang sekali hadir dalam ceramah-ceramah anjuran PAS tetapi semenjak isu Perak, mereka ini telah bersatu hati dan bersama-sama dengan ahli PAS dan pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat yang dilihat mampu memberi khidmat yang terbaik tanpa memilih bulu dan warna kulit.


DUN Trong pula, pada pilihanraya ke 12 telah dimenangi oleh BN dengan majoriti tipis iaitu 916 undi. Walaupun PAS yang diwakili oleh Ustaz Azli Musa tewas tapi ianya bukanlah menunjukkan kekuatan BN di Trong. Ini kerana pada pilihanraya ke 11 tahun 2004 BN telah memenangi DUN Trong dengan majoriti 3,020 undi bermakna BN telah kehilangan sebilangan besar penyokong setianya. Dilihat dari aspek psikologi dan mod pengundi, DUN Trong sebenarnya sudah pun dikuasai oleh Pakatan Rakyat. BN tidak lagi mempunyai pengaruh yang kuat di Trong. Pakatan Rakyat hanya perlu melipat gandakan usaha dan memberi keyakinan kepada pengundi Trong supaya memilih Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil Parlimen Bukit gantang nanti.


7 April nanti akan terjawablah siapakah sebenarnya pilihan rakyat. Isu-isu yang akan dimainkan nanti akan dinilai satu persatu dan pakar-pakar dalam menganalis berita akan cuba membuat rumusan. Perang saraf dan pendekatan psikologi sudah mula bergerak sekarang. Penduduk Bukit Gantang pula akan menerima kehadiran beribu-ribu orang dari seluruh Malaysia yang akan berkampung di Bukit Gantang. Jentera-jentera pilihanraya dan mula menggerakan kaki, tangan dan minda untuk memancing undi. Janji-janji pilihanraya sudah pun dirangka dan dirancang sekarang. Jalan-jalan yang berlopak akan pasti ditukar baru hatta batas padi pun mungkin akan dapat menafaat hasil penangan pilihanraya nanti. Batu asas pembinaan akan tumbuh macam cendawan dan yang pasti kedai makan akan dipenuhi manusia siang dan malam. Selamat Mengundi dan pilihlah yang boleh memberi khidmat kepada rakyat dan tiada penyakit rasuah.


Pak katib


13 Mac 2009

1 comment:

Anonymous said...

satu analisis yang menarik dan mempunyai fakta.Apa yang menjadi perhatian ialah undi kalangan bukan melayu pada kali ini.sekiranya momentum kebangkitan bukan melayu diterjemahkan dalam bentuk undi seperti kehadiran yg ramai dalam setiap ceramah pakatan rakyat...umno jgn terkejut beruk bila melihat keputusan pilhanraya Bukit Gantang nanti..