Setelah berakhir dua siri, kini mucul lagi satu siri dan selepas ini mungkin bersiri-siri. Semuanya berkisar kepada sah dan tidak sah dalam politik Perak. Pemahaman undang-undang di Perak nampaknya ditafsirkan mengikut kelompok dan berlaku kekeliruan tentang intipati dan huraian terhadap undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak . Bemula dengan rampasan kuasa yang dibuat di luar dewan oleh BN bersandarkan perkenan sultan perak telah membawa kepada kitab undang-undang tubuh kerajaan Perak dibuka dan diperhalusi sehingga penyelesaiannya terpaksa di bawa ke Mahkamah bagi menyelesaikan kemelut ini.
Dari situlah isu sah dan tidak sah diperdebatkan oleh banyak pihak termasuklah pakar undang-undang dan penganalisis politik dari universiti-universiti tersohor. Dari sinilah rakyat yang dahulunya tidak berapa kenal dengan tokoh-tokoh undang ini sudah mampu mengingat nama-nama mereka. Rakyat yang dulunya tak berapa faham dengan kitab undang-undang dah mula berminat nak tahu isi kandungan undang-undang tubuh kerajaan negeri Perak. itulah uniknya isu ini.
Barisan Nasional yang diketuai oleh Najib Tun Razak sebagai pengerusinya setelah pengunduran Tajol Rosli Ghazali menggunakan seluruh media massa dan surat khabar bagi menjelaskan bahawa Dato' zambry merupakan Menteri Besar yang sah. Pemahamam Dato' Najib ini adalah bersandarkan perkenan sultan dan lebihan majoriti BN dalam dewan walaupun perlantikan Dato' Zambry dan pembentukan kerajaan BN berlaku di luar dewan. Sahnya MB Zambry kerana sahnya Dato' Najib memahami undang-undang mengikut pemahaman BN walaupun dalam kitab undang-undang tubuh kerajaan negeri Perak menyatakan bahawa hanya 3 perkara sahaja yang boleh menyebabkan seseorang menteri besar itu letak jawatan iaitu melalui pembubaran Dun, Undi tidak percaya dan Menteri Besar itu sendiri meletak jawatan.
Dalam hal ini, MB Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan, sultan pula tidak perkenan kepada pembubaran DUN dan Undi tidak percaya juga tidak berlaku, maka dengan ini Tidak sahlah MB Zambry sebagai MB Perak dan Sahlah MB Nizar sebagai MB Perak. Akibat dari pertikaian ini dan corak rampasan yang dilakukan oleh BN secara drastik dengan menggunakan seluruh jentera kerajaan telah memaksa kes ini dilanjutkan ke Mahkamah bagi mencari jalan penyelesaian.
Babak-babak sah dan tidak sah ini kemudiannya muncul lagi apabila speaker DUN Perak V. Sivakumar telah menggantung MB Zambry dan 6 exconya atas sebab menghina dewan. Keputusan speaker ini kemudiannya sekali lagi diperdebatkan dari segi wajar atau tidak dan sah atau tidak sah penggantungan exco-exco BN ini. ada yang berpendapat bahawa ianya merupakan keputusan yang sah berdasarkan kuasa mutlak yang ada pada speaker sebagaimana speaker-speaker di seluruh negeri dan speaker di parlimen dan ada pula yang mengatakan bahawa ianya tidak sah kerana setiap keputusan perlu di bawa ke dalam sidang dewan terlebih dahulu sebelum diputuskan. Pakar undang-undang sekali lagi bertikam lidah antara yang pro-BN dan Pro-Pakatan Rakyat. Masing-masing memahami selok belok undang-undang dan masing-masing mempunyai hujah-hujah yang tersendiri dalam menguatkan lagi pandangan dan pendapat dalam kes ini.
Belum lagi reda dengan isu sah dan tidak sah penggantungan speaker, kini episod baru pula muncul apabila speaker Perak akan memanggil sidang tergempar pada 3 Mac ini. Sidang tergempar ini akan melibatkan semua Adun kecuali 7 adun dari BN yang digantung dan 3 Adun Bebas yang telah hilang hak kerana surat peletakkan jawatan. Keputusan V. Sivakumar ini telah mencetuskan rasa terkejut oleh adun BN dan kemudiannya dijawab oleh Dato Najib Tun Razak melalui kenyataannya kepada media sebagai "tidak boleh diadakan kerana masih lagi dalam kes Mahkamah". Kenyataan dari MB BN Zambry pula adalah seperti "cerita karton" kerana membuat sidang tergempar tanpa mendapat perkenan sultan. Isu sah dan tidak sah ini kemudiannya diperjelaskan oleh Setiausaha Dewan Negeri Perak, Abdullah Antong Sabri dalam satu kenyataan akhbar di Kuala Lumpur hari ini. Menurut beliau sidang tergempar ini tidak boleh diadakan kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak berdasarkan Perintah Tetap Dewan Negeri serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Isu ini menjadi semakin bercelaru apabila Aziz Bari dalam kenyataannya ( dipetik dari blog) menyebut bahawa Aziz berkata di bawah Perkara 16(1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Sultan diberi tanggung jawab untuk memanggil sidang dewan, termasuk mempastikan bahawa DUN bersidang sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan.“Peruntukan ini sama dengan Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kewajipan yang sama ke atas Yang di-Pertuan Agong”, .Profesor undang-undang itu berkata, memanggil sidang DUN tidak termasuk di dalam hal-hal yang menjadi budibicara dan beliau berpendapat bahawa Yang di-Pertuan Agong atau Sultan atau Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menyekat atau menolak permohonan untuk memanggil sidang.“Pada hakikatnya kuasa ini adalah kuasa formal dan adalah tidak munasabah untuk Sultan, dalam kes Perak ini, untuk menolak atau menghalang permohonan speaker itu,” tegas beliau lagi. Pakar perlembagaan itu berkata, hujah tersebut diperkuatkan oleh teori yang meletakkan ketua negara atau ketua negeri sebagai sebahagian daripada mekanisme yang melindungi perlembagaan dan semangatnya.“Kalau Sultan menolak permohonan itu bermakna Sultan sudah menyekat demokrasi dan ini bertentangan dengan Konsep Raja Berperlembagaan yang mesti selari dengan tuntutan demokrasi,” tambahnya lagi.Aziz berkata sidang DUN itu juga perlu kerana Perkara 16(2)(a) dan (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak menyebut soal sokongan majoriti di dalam DUN dan ini perlu ditunjukkan secara telus dan terbuka. Ditanya mengenai pendapat yang mengatakan bahawa sokongan majoriti itu boleh ditunjukkan di luar dewan, Aziz berkata “pendapat itu sebenarnya pandangan yang agak lemah dan hanya boleh diterima sekiranya ada pihak, contohnya kerajaan yang ada, yang dalam konteks Perak Dato Seri Nizar, enggan atau menghalang sidang DUN”.
Kita tidak tahu sampai bilakah perdebatan isu sah dan tidak sah ini akan berakhir. Berapa banyak pula fail-fail kes akan dibuka di Mahkamah bagi menyelesaikan kemelut ini. Berapa lama pula rakyat Perak akan menanggung akibat dan kesan dari pertelingkahan ini. Apakah undang-undang tubuh kerajaan negeri perak masih tidak jelas atau sengaja dikaburkan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda tersendiri. Mungkin jalan terbaik ialah bubarkan DUN dan serahkan kembali kepada rakyat. Biar rakyat yang menentukan sama ada sah ataupun tidak semua isu ini. Pembubaran Dun akan melihat siapa sebenarnya yang berkuasa menentukan kerajaan Perak. " Singh is King", " Siva is King", Najib is King, BN is king, Pakatan Rakyat is king, kalau semua nak jadi "king" bermakna negeri Perak akan jadi tunggang terbalik. Apa yang terbaik serahkan kepada rakyat untuk menentukan siapa yang berhak menjadi "King".
Wallahuaalam
pak Katib
1 Mac 2009
1 comment:
Salam,
Yang kelakarnya dalam isu ini, Setiausaha Dewan pun nak tumpang semangkok. Beliau yg koje taip surat dan peon pun dah pandai tafsir undang2. Buatlah koje apa yg disuruh oleh Siva, buat ape nak nyibuk, kan ko tukang taip dan hantar surat.
Mat Jet
Post a Comment