P. Ramlee- Disebalik kisah dan sindiran politik


Saya terpanggil untuk membuat sedikit ulasan tatkala menonton filem P. Ramlee dalam RTM 2 sebentar tadi. Saya bukannya penganalis atau pengkritik filem tapi hanya lah seorang audien yang dari dulu sampailah sekarang cukup meminati filem P. Ramlee. Walaupun kadangkala jalan ceritanya seperti tidak berpijak di alam nyata tapi sindirannya cukup tajam. Persoalan kemasyarakatan, sosial, keagamaan dan toleransi banyak diterapkan dalam filem P. Ramlee. Kepatuhan, keberanian, pengorbanan, kesetiaan menjadi elemen penting dalam setiap filem samada arahannya sendiri ataupun beliau yang memegang watak melalui arahan orang lain.

Dalam kemelut politik yang agak bercelaru di Perak dan kebangkitan rakyat yang ingin melihat satu perubahan sebenarnya mengingatkan saya kepada beberapa filem P. Ramlee yang cuba membuka telinga dan mata audien supaya melihat secara lebih dalam bentuk sindiran dan mesej yang di sampaikan.

Dari sudut pandangan dan pemerhatian saya yang agak cetek dalam menterjemahkan makna yang tersirat dari setiap filem P. Ramlee, tapi saya percaya sekurang-kurangnya ia ada perkaitan dengan beberapa permasalahan politik yang wujud di negara kita.
Saya senaraikan di sini tentang beberapa dialog yang saya rasakan ada perkaitan samada dalam bentuk sindiran ataupun sebaliknya.


Filem Musang Berjanggut. Dialog dari Menteri Nikah Kahwin


"Kanda, boleh kah dinda bertanya tentang undang-undang negeri di sini?"..." boleh, apa salahnya, undang-undang apa dinda".....salah atau tidak jika seorang lelaki masuk di rumah seorang perempuan semasa suaminya tidak ada di rumah"...ooo..itu salah besar, salah besar,..."kalau begitu kanda ni pun salah lah"..."salah juga lah, tapi itu tak jadi apa, sebab undang-undang dalam negeri ini kanda yang bikin" itu semua boleh padam"


link : http://www.youtube.com/watch?v=6Oj5gYQWIDw ( track 8:46 - 9:20)


Mungkin sekali imbas ianya hanya berbentuk komidi bagi menghidupkan watak dan jalan cerita tapi apabila diamati dan dibuat perkaitan dengan isu yang berlaku di Perak seolah-olah Tan Sri P. Ramlee telah menterjemahkan filem ini merentasi zaman. Pencabulan undang-undang dan pentafsiran mengikut acuan sendiri yang berasaskan kepentingan politik telah menyebabkan undang-undang yang diwujudkan di Perak boleh atau tidak dipakai bergantung kepada kepentingan dan keperluan orang yang mentafsir. Kewujudan pentafsiran mengikut selera inilah yang menyebabkan kedaulatan undang-undang telah tercemar dan kitab undang-undang yang menjadi asas kepada penubuhan negeri Perak telah menjadi satu buku contengan dan lakaran yang boleh diubah-ubah mengikut perkiraan masing-masing.

Dalam filem 3 Abdul pula P. Ramlee telah mengetengahkan mesej tentang jenis manusia yang cukup patuh pada undang-undang dan peraturan. Perjanjian yang dibuat telah dipegang sekuat-kuatnya walaupun terpaksa "kena jual". Peribahasa " kerbau pegang pada tali, manusia pegang pada janji" telah disematkan sekuat-kuatnya dalam diri setiap watak ini. Kita tidak tahu apakah mesej sebenar yang cuba disampaikan tapi kita boleh membuat andaian bahawa kekuatan perjanjian yang dibuat antara mereka yang membuat janji telah mewujudkan satu undang-undang yang tak boleh diubah walaupun terpaksa berhadapan dengan risiko " kena jual". cuba kita teliti filem 3 Abdul. dan yang melanggarinya sudah tentu akan di jual.


Filem 3 Abdul


" Kanda, mengikut undang-undang di rumah ini, suami tidak boleh tidur bersama isteri, suami mesti tidur di kandang kuda".




Mungkin agak pelik kerana mengikut undang-undang yang dibuat suami tak boleh tidur bersama isteri. Namun watak dalam filem ini tetap menurut undang-undang tersebut walaupun pada hakikatnya ia tidak menyebelahinya.


Kepatuhan yang ditonjolkan dalam filem P. Ramlee ini adalah satu "paparan penegasan" yang memberitahu audien bahawa kita tidak boleh sesekali melanggar undang-undang yang telah termaktub. Malang sekali, dengan isu yang berlaku sekarang seolah-olah undang-undang telah diperlekehkan dan kuasa-kuasa mutlak yang tercatat telah dinafikan akibat kerakusan untuk mendapatkan kuasa dan kepentingan politik.


Mungkin dialog Hang Jebat dalam filem Hang Tuah yang cuba menuntut bela boleh juga dijadikan iktibar. Dalam filem Hang Tuah kita sebenarnya dihadirkan dengan persoalan " Apakah Hang Jebat itu penderhaka?". Dilema kesetiaan yang ditonjolkan dalam filem Hang Tuah telah membawa audien melihat secara lebih dalam tentang konsep kepatuhan yang sebenar. Persoalan dalam filem Hang Tuah ialah siapakah sebenarnya yang menderhaka dan siapakah sebenarnya yang mempunyai kesetiaan dan kepatuhan yang tinggi. Hang Jebat Menderhaka kerana menuntut sebuah keadilan dan Hang Tuah setia kerana menjaga kedaulatan Sultan. Mungkin perkara ini tidak boleh diulas secara mendalam kerana takut wujud salah faham pada sesetengah pembaca. Apatah lagi ianya melibatkan isu yang sensitif dan kedaulatan raja melayu.

Sultan adalah satu herarki yang tertinggi dan merupakan simbol kepada ketuanan Melayu. Rakyat akan sentiasa menjunjung titah. Oleh sebab inilah rakyat perlukan satu keadilan dan saksama tanpa mengira fahaman politik.


Menyentuh isu persidangan tergempar Pakatan Rakyat di bawah pokok teringat saya kepada satu lagi filem P. Ramlee iaitu Laksamana DO Re Mi. Mungkin ini secara kebetulan tapi apa pun cerita ini memberi satu perkaitan yang paling hampir mengikut pandangan saya. Tiga orang Laksamana mungkin saya boleh tafsirkan perkaitan sebagai PAS, PKR dan DAP yang membuat persidangan bawah pokok di negeri Pasir Dua Butir(Perak). matlamat mereka adalah sama iaitu untuk menghapuskan menteri Pasola ( BN) yang telah menakluk negeri Pasir Dua Butir (Perak) secara paksa ( tidak mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri Perak). Kehebatan menteri Pasola yang mempunyai jentera dan pasukan keselamatan yang cukup ramai sudah pasti akan memberi cabaran kepada tiga laksamana ini. Namun kekuatan semangat dan keberanian akhirnya menteri Pasola dapat ditumpaskan.


Filem P. Ramlee bukan sekadar filem tapi ianya merupakan nukilan bermesej merentasi zaman. Kita sebagai audien harus melihat filem ini dengan mata hati dan mencari rahsia yang tersembunyi. bukan setakat terhenti di panggung wayang tetapi membawa pulang ke bilik kajian untuk diperhalusi dan diamati.


Alfatiha untuk seniman Agung Tan Sri P. Ramlee



Pak Katib


10 Mac 2009







No comments: