Rombakan kecil dalam UMNO dalam strategi untuk mengembalikan 5 negeri yang masih lagi dikuasai Pakatan Rakyat kecuali Perak menampakkan satu rombakan yang bakal membuahkan hasil. Tahniah buat PM Dato' Seri Najib kerana memulakan langkah berani mengenepikan beberapa muka lama yang dilihat sudah tidak begitu berfungsi untuk menerajui UMNO negeri.
Pendekatan yang digunakan di negeri yang berkrisis juga sebenarnya mampu memulihkan kembali keyakinan rakyat kepada UMNO. Negeri Terengganu yang sebelum ini bergolak akibat wujudnya kumpulan Idris dan kumpulan Mat Said pastinya akan meredakan sedikit ketegangan sesama sendiri. UMNO yang tercalar sekurang-kurangnya sudah boleh dirawat walaupun penyakitnya mengambil masa untuk sembuh.
Mungkin ada di kalangan ahli UMNO negeri Terengganu yang kurang berpuas hati dengan perlantikan Hisyamuddin sebagai Pengerusi UMNO negeri tapi inilah jalan terbaik bagi mengembalikan kegemilangan UMNO di negeri berkenaan. Kalau dalam satu negeri ada dua kepala yang berlainan halatuju maka harus lah ditukarkan kepala tersebut kepada kepala dari negeri lain yang bakal membawa gerabak UMNO ke landasan yang betul.
Dato Hisyamuddin Tun Hussin yang baru dilantik menggantikan Dato Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu sudah pasti akan menggunakan segala pengalamannya di peringkat pusat bagi merapatkan kembali ahli-ahli UMNO yang bercakaran sesama sendiri dan menggemilangkan semula UMNO di Terengganu.
PAS di Terengganu perlu lebih berhati-hati dan mempergiatkan usaha memperkukuhkan parti di negeri Terengganu. Wakil-wakil rakyat PAS perlu lebih memahami kehendak rakyat dan tuntutan rakyat agar tidak hilang undi dalam pilihanraya ke 13 nanti. PAS tidak boleh terlalu yakin dengan perkembangan muttakhir yang melihat kebangkitan rakyat khususnya golongan muda terhadap parti PAS. Apa sahaja boleh berlaku. Rakyat sekarang ini bukan lagi melihat kepada parti tapi lebih kepada pemimpin. Lihat sahaja apa yang berlaku pada UMNO. Dulunya UMNO cukup gah sebagai parti penyelamat dan parti yang mewakili kaum Melayu khususnya dalam menuntut kemerdekaan tapi apabila sesetengah pemimpin dalam UMNO semakin riak dan bongkak serta mengetepikan suara rakyat maka rakyat telah menghukum UMNO di 5 negeri yang menyaksikan UMNO hilang taji untuk bertarung.
PAS perlu lebih berani membuat perubahan dan menterjemahkan setiap manifesto kepada realiti bukannya di atas kertas. PAS juga perlu menonjolkan bahawa parti itu meliputi semua kaum agar mampu menarik lebih ramai pengundi dari bukan islam untuk bersama-sama PAS.
UMNO sudah mula untuk bersilat dengan langkah berani. Perubahan pucuk pimpinan Badan Perhubungan UMNO Negeri bagi 5 negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat merupakan langkah bijak oleh Dato' seri Najib. Kalau mengikut kaedahnya yang kalah lebih berani melakukan perubahan dan penyusunan strategi untuk menang berbanding yang menang. Yang menang akan lebih sukar untuk mengekalkan kemenangan. Sebab itulah yang menang perlu lebih berhati-hati dan sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat. Perilaku yang menang akan sentiasa dilihat dan dipantau dan yang kalah pula akan sentiasa mencari ruang dan kelemahan yang menang.
Di Perlis khabarnya UMNO negeri sudah boleh menarik nafas lega apabila pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri diberikan kepada Isa Sabu dan Shahidan Kassim pula tidak pulang dengan tangan kosong apabila diangkat ke MT UMNO. " Give and take" ini sebenarnya mampu menstabilkan kembali UMNO perlis yang sebelum ini bertikam lidah dalam merebut hak sebagai Pengerusi Negeri sehingga terdengar dari mulut seorang ahli UMNO negeri yang melabelkan MB Perlis sebagai MB Haram. Itu antara UMNO dengan UMNO. Penyakit UMNO hanya Doktor UMNO yang boleh rawat.
Hulubalang baru UMNO yang baru ini sudah pasti akan membawa rentak yang hebat bagi menghadapi Pakatan Rakyat yang semakin gah di arena politik tanah air. Langkah yang dibawa nanti belum pasti samada langkah yang diperturunkan oleh Tok guru Najib Tun Razak atau Tok Guru jelmaan Tun Dr. Mahathir Muhammad. Yang jelas kedua-duanya ada bisanya yang tersendiri. khabar-khabar angin bahawa ada campurtangan orang lama dalam UMNO tapi yang pasti kehadiran orang lama setelah merajuk untuk sekian lama sedikit sebanyak menggugat Pakatan Rakyat. Orang lama ini hebat bisanya. Zaman kepimpinannya begitu lama dan jasanya dalam UMNO cukup banyak. Doktrinnya sudah tertanam dalam nadi penyokong-penyokongnya.
Pakatan Rakyat perlu menilai kembali kekuatannya yang sebenar. Apakah kekuatan Pakatan Rakyat adalah hasil dari kesedaran rakyat terhadap kejujuran Pakatan Rakyat atau mungkin hanya kemenangan yang terhasil dari protes rakyat terhadap UMNO pada hal mereka ini masih lagi setia dengan UMNO. Apakah yang memenangkan Pakatan Rakyat adalah ahli UMNO yang kecewa dengan UMNO di zaman Pak Lah dan apabila Paklah sudah meninggalkan kerusi empuknya maka mereka ini akan berduyung-duyung kembali kepada UMNO semula.
Jawapannya nanti adalah pada pilihanraya ke - 13. Pilihanraya umum pertama bagi Dato' Seri Najib untuk melihat hasil pembaharuan di peringkat awal sebelum mengukuhkan UMNO dengan sekukuh-kukuhnya. Kemenangan Pakatan Rakyat di Parlimen Bukit Gantang belum cukup untuk menjadi bukti kekalahan sebenar UMNO. Ini mungkin disebabkan oleh undi simpati dan populariti. Pakatan Rakyat perlu berani berhadapan dengan semua situasi akan datang. Pakatan rakyat perlu merakyatkan pemimpin. Pakatan Rakyat perlu bersilat dengan langkah yang lembut dan kemas supaya tidak dicantas oleh musuh yang sentiasa menantikan langkah sumbang.
Wallahuaalam
- Pak katib
25 April 2009
2 comments:
Mane pegi semua Melayu2 haprak kat sini? Melayu Bodoh!!! Blog pun dah memboringkan....bodoh punya blogger
najib memang bijak..bijak! mung kena ingak rakyat teganung.. pondan shamudin tu sepupu najiss tuya.. habih la pulok... pitih ihsan..perait dik demo nihhh..
Post a Comment