Ustaz Badrul Amin gamatkan pengundi Parlimen Bukit Gantang dengan baju lokap

Changkat Jering- 4 April, Kempen pilihanraya semakin hangat dengan beberapa siri ceramah dari penceramah, penceramah tersohor khususnya dari Pakatan Rakyat menghiasi slot kempen yang masih berbaki beberapa hari lagi. Di Changkat Jering, Kehadiran Ustaz badrul Amin yang sekian lama bertapa dalam ISA telah menaikkan semangat penyokong dan pengundi dalam memenuhi musim kempen ini. Dalam ceramah yang diadakan di bilik gerakan Pakatan Rakyat, Ustaz Badrul Amin mengingatkan pengundi di parlimen Bukit gantang supaya menolak UMNO yang telah banyak merompak hak rakyat. UMNO di bawah pemimpinnya yang baru telah menekan dan menyekat kebangkitan rakyat dengan bermacam-macam tuduhan yang dibuat-buat semata-mata untuk melemahkan dan menutup kelemahan UMNO selama ini.

Setelah lebih 50 tahun UMNO telah gagal membawa kemajuan kepada orang Melayu dan masyarakat Islam di Malaysia walaupun setiap kali kempennya UMNO sentiasa menggula-gulakan rakyat dengan bermacam-macam janji. UMNO juga tidak mahu menjadikan Islam sebagai panduan hidup apabila awal-awal lagi menolak perlaksanaan hukum hudud yang dicadangkan oleh PAS malah menyebarkan fitnah terhadap rakyat khususnya kaum lain dengan menakut-nakut kan mereka bahawa sekiranya hudud dilaksanakan maka orang-orang bukan Islam akan dipotong tangan. Keadaan ini menyebabkan bangsa lain keliru dan menganggap bahawa hudud akan menyusahkan mereka pada hal hukum hudud hanya dilaksanakan untuk orang Islam sahaja.





Walaubagaimana pun sejak kebelakangan ini dan kesabaran pemimpin-pemimpin PAS menjelaskan tentang hudud sebenarnya maka sekaligus kita melihat orang Cina dan India telah bersama-sama dengan Pakatan rakyat. Ketakutan UMNO sekali lagi terserlah apabila telah memutarbelitkan fakta undang-undang dalam kes Perak kononnya perlantikan Zambry adalah sah. Ustaz badrul Amin yang merupakan bekas pensyarah undang-undang di UIA telah menjelaskan bahawa apa yang berlaku di Perak adalah merupakan satu rampasan kuasa yang tidak bermoral. Zambry Kadir yang juga merupakan bekas pelajarnya juga telah membelakangkan undang-undang tubuh negeri Perak apabila telah mengangkat sumpah sebagai MB Perak yang baru pada hal Perak masih lagi mempunyai MB Nizar yang sah. Walaupun isu perlantikan MB UMNO ini telah diperdebatkan dan diperjelaskan oleh seorang pakar undang-undang iaitu Prof Aziz Bari yang juga merupakan pelajar Ustaz Badrul Amin, namun UMNO masih lagi tidak mahu mengalah dan meneruskan agenda jahatnya dengan menggunakan media cetak dan Televisyen milik UMNO dalam memutarbelitkan fakta dan mengelirukan rakyat. " saya percaya pengundi Bukit Gantang matang dah tak mudah tertipu dengan UMNO"





Dalam majlis yang sama Ustaz Badrul Amin gamatkan penonton dengan baju lokapnya yang dipakai dan tertulis " Lokap Polis Kuala Lumpur". Sambil membuang jaketnya supaya baju lokap itu nampak jelas oleh hadirin sambil tersenyum beliau menjelaskan bahawa baju ini simbol keberanian. Keberanian dalam menegakkan yang hak walaupun terpaksa merengkok dalam lokap dan kemudiannya ISA dengan hanya berpakaian seluar pendek. Ini adalah bukti kezaliman UMNO yang akan menangkap dan menahan sesiapa sahaja yang dirasakan boleh mengancam kedudukan UMNO dan sesiapa sahaja yang cuba bersuara untuk menjelaskan kebenaran.




Majlis yang dihadiri oleh pengundi Bukit Gantang ini juga telah disertai oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu Y.B. Abdul Wahid Endut yang tiba-tiba muncul dan dikhabarkan baru pulang dari kempen pilihanraya kecil Bukit Selambau. Dalam masa yang singkat ini Y.B Wahid Endut sempat menyampaikan ucapan dan beberapa perkembangan yang membanggakan di Bukit selambau apabila Pakatan rakyat berada dalam zon selesa dengan sokongan dari semua kaum.



Pada akhir majlis sekali lagi hadirin dikejutkan dengan kehadiran calon Pas P059 parlimen Bukit Gantang Dato' seri Nizar Jamaluddin. Penonton yang berada di situ merasa teruja dan bangun memberi sokongan. DS Nizar dalam ucapan ringkasnya yang menyentuh beberapa isu Perak dan keputusan mahkamah yang memihak kepada beliau, turut juga merayu kepada pengundi dan penyokong supaya mengundi Pakatan Rakyat dan sentiasa berkerja untuk kebaikan dan kemenangan Pakatan rakyat.




Wallahuaalam

No comments: