BN kemuka usul pecat Speaker DUN Perak



PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Perak telah mengemukakan usul untuk memecat Speaker Dewan Undangan Negeri Perak (DUN), V. Sivakumar dari Pakatan Rakyat apabila ia bersidang 7 Mei ini.
Bagaimanapun, Pakatan membantah keputusan tersebut atas alasan Setiausaha DUN, Abdullah Antong Sabri, yang kini digantung tugas, telah mengeluarkan surat berkaitan dengan usul undi tidak percaya untuk memecat Speaker.


Menurut Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Khoo Ham, beliau telah menerima surat yang memberitahu mengenai usul tersebut semalam.
"Surat itu menyatakan Zambry (Menteri Besar Perak) dan kerajaan BN negeri akan mengemukakan satu usul undi tidak percaya untuk pecat Speaker (Sivakumar).


"Usul itu tidak sah kerana dia (Abdullah Antong Sabri) telah digantung tugas oleh Speaker,"katanya kepada mStar Online hari ini.
Tegasnya, surat tersebut jelas menghina Speaker kerana Sivakumar tidak diberitahu mengenai usul berkenaan.


"Mereka perlu rujuk dan beritahu kepada Speaker dahulu. Tapi mereka (BN Perak) buat macam itu,"katanya.


Ngeh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beruas berkata, BN Perak tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya dalam isu tersebut.


"Bagi saya ini tidak betul dan surat yang dikeluarkan ini jelas menunjukkan kerajaan BN tidak ikut undang-undang.
"Jika mereka mahu pecat dia (Sivakumar) mereka perlu lantik Timbalan Speaker (Lee Yit Foong- Bebas) menggantikan Speaker.


"Tapi mereka (BN Perak) tidak buat begitu kerana Yit Foong(ADUN Jelapang) dikatakan tidak layak kerana itu mereka mahu kemukakan nama yang Speaker yang baru. Mereka( BN Perak) tidak boleh buat andaian-andaian sebegini,"katanya.


Pada 16 April lalu, Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong menghantar notis pemberitahuan persidangan bertarikh 7 Mei kepada semua ADUN negeri itu.


Sultan Perak juga dilaporkan berkenan menandatangani surat perisytiharan berhubung persidangan berkenaan.
Berikutan itu, Speaker DUN Perak, Sivakumar pada 17 April telah bertindak menggantung tugas Abdullah kerana mengeluarkan notis persidangan tanpa pengetahuan dan persetujuannya terlebih dulu.

sumber : mstar

No comments: