BN Menuju Kehancuran


Kemenangan PAS di PRK Bukit gantang dan PKR di Bukit selambau sekali lagi memberi kejutan yang hebat selepas Pakatan Rakyat telah pun menawan Parlimen Kuala Terengganu dan mengekalkan kemenangan di Permatang Pauh. Entah apa yang tidak kena dengan UMNO parti yang didominasikan oleh orang Melayu sebagai kepala keretapi dan kaum-kaum lain sebagai gerabaknya hilang populariti dalam arus politik tanah air. Penganalisis politik telah merungkai banyak faktor kejatuhan UMNO dan rasionalnya UMNO-BN dalam politik masa kini.


Pemberian undi yang besar oleh masyarakat Cina di Kuala Sepetang dan orang India di beberapa tempat khususnya di Simpang Halt sekaligus menguburkan BN dan memenangkan PAS dengan majoriti yang lebih besar berbanding pilihanraya umum ke -12. Apakah sebabnya orang Cina mampu hidup dengan Pakatan Rakyat. Apakah protes sebenar yang mahu ditunjukkan oleh pengundi Cina dan India terhadap BN yang selama ini didokongnya melalui MCA dan MIC.


Sepanjang tempoh kempen dan hari pengundian masyarakat Cina dan India sudah pun memberi isyarat kemenangan kepada Pakatan rakyat apabila menurunkan jentera-jentera mereka yang bernaung di bawah Kelab Penyokong PAS seluruh negara berkampung di Bukit Gantang dan Bukit Selambau untuk membantu jentera PAS berkempen. Kehadiran mereka ini menyuntik semangat pengundi-pengundi Cina dan India untuk mencalit lambang bulan di kertas undi dan sekaligus memberikan PAS dan PKR juara dalam peperangan di dua bukit walaupun terpaksa akur dengan kekalahan di Batang Ai.


UMNO-BN yang masih berlabelkan semangat Melayu akhirnya terpaksa tunduk dengan kuasa rakyat yang tidak lagi mahu bersekongkol dengan pemimpin -pemimpin UMNO yang terang-terangan menghalalkan politik wang dan rasuah walaupun UMNO sendiri telah mewujudkan Biro disiplin untuk mengekang penularan politik wang di kalangan UMNO dan nampaknya biro ini tidak begitu berfungsi dengan baik sehinggakan beberapa keputusan telah mencetuskan kemarahan di kalangan UMNO sendiri.


UMNO yang pernah menggunakan moto " Bersih Cekap dan Amanah" nampaknya tidak begitu bersih apabila cuba melindungi orang-orang tertentu yang rakyat nampak bersalah dan memperkotak- katikkan undang-undang dalam beberapa isu dan menyebabkan gambar dacing yang sebelum ini nampak seimbang sudah semakin senget di mata rakyat. beberapa pemimpin kanan yang disiasat oleh SPRM sebelum menjelang pemilihan agung UMNO dan Pilihanraya kecil di tiga kawasan sekali lagi memalitkan lumpur yang sukar dibersihkan. Rakyat akan melihat bahawa pemimpin UMNO memang gemar menggunakan wang ringgit sebagai jalan singkat bagi memenangkan satu-satu kelompok. Rakyat tidak akan merestui tabiat begini dan rakyat perlu tunjukkan bahawa pilihanraya adalah hak rakyat dan rakyat adalah penentunya.


Ramai pelancong politik yang bertandang ke Bukit Gantang hadir atas nama penganalis bebas dan memantau keikhlasan sebenar UMNO dalam menambat hati pengundi. Apa yang menyedihkan mereka masih ada segelintir jentera-jentera UMNO yang cuba menyogok dengan bermcam-macam habuan seperti basikal, beras, gula dan ayam. Di Kg. Cheh sebagai contohnya disogokkan dengan ayam satu lori sehingga mencetuskan insiden kecil di kalangan penyokong UMNO sendiri yang berebut-rebut untuk mendapatkan ayam sehingga memaksa polis campur tangan. Sekiranya UMNO ikhlas untuk membantu rakyat, UMNO perlu melakukan khidmat dan bantuan ini berterusan bukannya hanya pada musim pilihanraya sahaja. Tabiat ini menyebabkan rakyat merasakan UMNO masih gemar menggula-gulakan rakyat dan memperbodoh-bodohkan rakyat hanya semata-mata untuk mendapatkan undi dan selepas itu dibiarkan rakyat hidup sengsara tanpa perhatian.
Beberapa pemimpin UMNO-BN pula tidak mencerminkan pemimpin yang berjiwa rakyat dan lebih banyak mementingkan kroni-kroni untuk habian projek-projek besar dan bernilai tinggi. Ahli puteri UMNO sewaktu meraih undi agak ligat dan tidak mencerminkan Melayu Islam yang terlompat-lompat sehingga hilang adat kesopanan atas nama wanita Melayu.
Rakyat sekarang tidak sebodoh dulu. mereka ini telah mendapat maklumat yang secukupnya melalui internet. Rakyat bukan lagi berkiblatkan Utusan Melayu, Berita harian dan beberapa media yang dipengaruhi kerajaan tapi mereka sudah mampu membawa maklumat ke bilik tidur mereka dengan jaringan internet yang luasnya tanpa sempadan. Maklumat yang diterima akan dianalisis dan diperhalusi dan akhirnya diterjemahkan di kertas undi.


Tahniah atas kejayaan PAS dan PKR di kedua-dua Bukit ini. Kemenangan ini merupakan kemenangan rakyat yang semakin hari semakin bijak berpolitik. Tiga parti PAS, PKR dan DAP yang berada sebumbung atas nama Pakatan Rakyat adalah bukti penyatuan kaum tanpa mengira agama dan warna kulit. Kemenangan PAS di Bukit Gantang adalah mesej jelas bahawa rakyat bencikan politik perkauman yang hanya mengundang kepada perpecahan.


Wallahuaalam


-Pak katib


9 April 2009

3 comments:

Anonymous said...

semoga BN dapat pengajaran dari kekalahan ini

WARUNG PAK KATIB said...

salam untuk semua

anak sg tinggi said...

jauh kan lah anak cucu dan jenerasi
kita dari makluk perosak ni{pemuda/puteri umno} perangai dan aklak mereka di rosak kan olih pimpinan mereka.