Ancaman dalam Politik Malaysia


Mungkin terasa suatu kegusaran dalam benak orang politik apatah lagi dunia mereka sudah dicemari dengan "ancaman politik" dari musuh yang berada dalam platform yang berbeza atau selimut yang sama. Kita tidak tahu bila permainan ancaman ini bermula walaupun kita telah banyak membaca dan mengetahu dari sejarah tentang beberapa pembunuhan yang melibatkan beberapa pemimpin dunia yang saya rasa pembaca sudah maklum.

Kalau di negara kita, mungkin sesetengah orang politik dan masyarakat sudah tahu kisah pembunuhan Dato Taha oleh Mokhtar Hasyim yang akhirnya pembunuh telah di bawa ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Mungkin kes Dato' Taha dulu adalah melibatkan dari orang yang berada dalam payung yang sama.

Ancaman dalam politik bukan sahaja menjurus kepada individu tapi juga melibatkan satu kelompok yang besar seperti dalam kes di Memali antara penyokong PAS ( di bawah Ustaz Ibrahim Libya) dan kerajaan ( BN) yang mengorbankan banyak nyawa. Dato Musa Hitam sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri pada masa itu telah melabelkan ustaz Ibrahim Libya sebagai penjenayah dan menuduh Ustaz Ibrahim menggunakan orang wanita dan kanak-kanak sebagi perisai. Pembunuhan beramai-ramai ini telah difailkan ke Mahkamah dan dikhabarkan masih lagi belum selesai sampai sekarang. Bukan setakat di Memali sahaja tapi juga di Lubuk Merbau yang sekali lagi menyaksikan gugurnya pejuang-pejuang dalam PAS sebagai shuhadah walaupun beberapa mufti dan tokoh agama pro BN menganggap mereka ini sebagai mati biasa yang perlu dikapankan kerana melawan pemerintah.

Kurang jelas sebenarnya hujah yang dibawa oleh tokoh agama itu ( merujuk dalam kes di Memali) sedangkan shahid dalam alquran telah diperjelaskan secara terang dengan dibantu oleh penerangan dari hadis dan ijmak ulama yang muktabar . Mungkin tokoh agama yang pro BN waktu itu cuba menyembunyikan kebenaran atas alasan menjaga jawatan dan kedudukan yang disandang.

Ancaman ini juga bukan sahaja tertumpu kepada parti yang dipelopori oleh orang Melayu tapi juga telah terpalit juga kepada parti dari kelompok India dan Cina. Pembunuhan pemimpin kanan MIC sebelum ini ketika menaiki lif adalah bukti kepada ancaman dalam politik ini terus berleluasa tanpa mengira fahaman politik.

Sejak akhir-akhir ini, sekali lagi kita telah dikejutkan dengan penghantaran surat yang berisi dua butir peluru yang dihantar ke pejabat pemimpin DAP, YB karpal Singh dan ancaman
"nyahkan Sivakumar" yang ditulis dalam blog pro BN terhadap S. Sivakumar. Mungkin bagi pemerhati politik, ancaman terhadap ke dua-dua orang politik ini adalah rentetan dari isu yang melanda Perak. Kita tidak tahu siapa yang membuat angkara dan dari kelompok mana yang cukup gemar bermain dengan ancaman.
Mungkin di kalangan pakatan Rakyat akan cuba mengandaikan bahawa ini angkara dari penyokong BN ataupun individu yang tidak mahu Sultan dibabar atau dalam istilah lain "menderhaka". Andaian ini mungkin diperkuatkan lagi dengan kelantangan Karpal singh yang berkeras untuk menyaman Sultan Perak dalam kes perlantikan Menteri Besar BN yang dipertikaikan keesahannya kerana berlawanan dengan apa yang termaktub dalam undang-undang Tubuh Kerajaan Neger Perak. S. Sivakumar yang cukup tegas dalam mempertahankan undang-undang negeri Perak telah menggantung 7 Adun dari BN telah sedikit sebanyak mengundang kepada rasa tidak puas hati di kalangan penyokong BN dan mengakibatkan wujudnya ancaman sedemikian terhadap beliau.

Ancaman-ancaman sebegini sebenarnya sesuatu yang tidak seharusnya dipopularkan dalam masyarakat Malaysia. Politik Malaysia perlu bersih dan demokrasi perlu subur. Sekiranya ancaman ini berterusan ianya akan mencerminkan corak pemikiran yang dangkal dan bebal di kalangan masyarakat kita. Tiada guna kita menjunjung undang-undang kalau kita tidak tahu menggunakannya. Kita perlu mengamalkan tarian politik yang santun dan gemalai dan setiap pertelagahan perlu diselesaikan mengikut undang-undang dan dibawa ke meja bulat. Apa guna diwujudkan mahkamah dan hakim-hakim kalau setiap manusia hanya tahu menyelesaikan satu-satu perkara mengikut acuan sendiri. Ragam politik begini boleh membawa kita kepada corak politik sempit dan seterusnya lari dari demokrasi yang sebenar.

Dua gajah bertempur, pelanduk mati di tengah. Kembalilah kepada suasana politik yang matang. Kalah jadi abu, menang jadi arang. Ikutlah peraturan dalam permainan supaya permainan menjadi seronok dan menarik sebab permainan dan perlawanan yang berasaskan peraturan akan membuahkan lagi kekraban sesama pemain walaupun berbeza dari segi tektikal

wallahuaalam.

Pak Katib

24 Feb 2oo9



Rujukan beberapa siri pembunuhan yang berkaitan politik yang dipetik dari wikipedia Bahasa Melayu


Datuk Mokhtar Hashim ialah seorang mantan Menteri Belia dan Sukan Malaysia yang telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati setelah didapati bersalah atas tuduhan membunuh Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, Mohamad Taha Talib





Latar belakang

Mokhtar Hashim bersekolah di Maktab Melayu Kuala Kangsar. 1972 Setelah memenangi kawasan parlimen Rembau-Tampin, beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Ketika itu Datuk Hamzah Abu Samah menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Pada 12 November 1974 beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar.

Pembunuhan

Pembunuhan itu dilakukan di Kampung Seri Asahan, Gemencheh , Negeri Sembilan pada jam 1.30 pagi , 14 April 1982. Datuk Mokhtar Hashim telah ditangkap di rumahnya di rumahnya di Jalan 16/6 , Petaling Jaya jam 1.30 pagi. Ketika itu 8 hari lagi akan diadakan Pilihan Raya Umum Malaysia 1982 pada 22 April 1982. Puncanya kedua-dua mereka adalah musuh politik dalam UMNO Bahagian Tampin dan masing-masing berebut jawatan .
Orang lain yang terlibat termasuklah Rahmat Satiman ( 46 tahun - ketua kampung ), Nordin Johan ( 33 tahun - peniaga) , Aziz Abdullah ( 65 tahun , kerja sendiri, Aziz PJK) dan Aziz Tumpuk. Walaupun bagaimanapun penyokong Mokhtar Hashim dibebaskan.
Perbicaraan selama 75 hari pada 1983 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.Pada 6 Mac 1983 Hakim Tan Sri Hashim Yeop Abdullah Sani menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ( biasanya 20 tahun sahaja, bukan dipenjara sampai mati ).

Peguambela bagi pihak Mokhtar Hashim ialah Dato Abu Zahar Ujang. Peneroka Felda yang menjadi saksi alibi tidak hadir semasa perbicaraan. Ketua polis yang menyiasat kes itu ialah Musa Hassan.

Tidak ada saksi yang nampak Moktar Hashim di ladang kebun getah , pada waktu bulan mengambang. Tetapi pistol dan peluru yang menjalani ujian balistik jelas menunjukkan ia milik Mokhtar Hashim. Kebanyakan ahli parlimen menyimpan pistol mereka demi keselamatan peribadi.




Peristiwa di Memali


Peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985. Insiden ini mengorbankan 18 orang dan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang. Kesemua yang ditahan telah dibebaskan kecuali 36 orang. Mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dalam pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya telah terbunuh. Polis memanggil operasi ini sebagai 'Operasi Angkara/Operasi Hapus'.
Peristiwa ini terjadi ketika Datuk Seri Musa Hitam menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia berada di China.

Lokasi

Peristiwa berlaku di Kampung Memali yang terletak di mukim Siong, Baling, Kedah berhampiran dengan sempadan Kedah-Thailand. Penduduknya keturunan Melayu. Sebahagian lagi mempunyai kaitan dengan Siam/Patani. Aktiviti ekonomi mereka ialah menoreh getah dan bersawah padi.
Baling merupakan sebuah daerah yang dikaitkan dengan pertemuan antara Tunku Abdul Rahman dengan Chin Peng dari Parti Komunis Malaya pada tahun 1955. Baling dikejutkan lagi pada tahun 1974 berikutan insiden kebuluran pada era Anwar Ibrahim menjadi pemimpin pelajar. Seterusnya Baling dikejutkan dengan Peristiwa Memali.

Tayangan video
Peristiwa ini dipaparkan melalui tayangan video oleh RTM1. Video ini memaparkan segmen penduduk kampung yang bersenjata parang, lastik dan molotov cocktail (bom petrol) menyatakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap pihak polis yang mengepung penempatan tempat tinggal mereka selama beberapa bulan.
Pihak FRU pula menggunakan dua buah kereta perisai bagi memecahkan pintu papan di rumah Ibrahim Libya. Kelihatan juga seorang perempuan tua yang bagaikan histeria mahu mempertahankan Ibrahim Libya.

Walaubagaimanapun, tayangan video berkenaan dikatakan telah disunting oleh pihak berkuasa untuk menampakkan kumpulan yang diserang sebagai pengganas.
Video berkenaan turut menayangkan pengakuan daripada bapa Ustaz Ibrahim Libya, Haji Mahmud Senapi, adiknya, Ismail Mahmud dan orang kanannya, Yusuf Husein. Ketiga-tiga mereka ketika itu masih berada di dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Mereka membuat pengakuan salah serta mendedahkan beberapa perancangan kumpulan mereka. Mereka turut menyatakan kesal di atas penglibatan mereka di dalam kumpulan Ustaz Ibrahim Libya dan menyeru rakyat Malaysia supaya memaafkan mereka.

Bagaimanapun selepas dibebaskan, ketiga-tiga mereka telah menyampaikan ceramah ke seluruh Malaysia di atas pentas PAS, mendedahkan bahawa mereka sebenarnya telah dipaksa membuat pengakuan berkenaan.

Operasi Angkara

Musa Hitam selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia menjelaskan Operasi Angkara bertujuan menangkap dan menghapuskan penjenayah. Ibrahim Libya memang dikehendaki pihak polis di bawah ISA. Ibrahim Libya dituduh mengancam keselamatan negara dengan kegiatan memecah-belahkan masyarakat Islam. Selain itu, dalam sidang akhbar New Straits Times bertarikh 21 November 1985 Musa Hitam turut menyanggah kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Kedah yang mengatakan Ustaz Ibrahim hanyalah memberikan ceramah agama.
Ibrahim Libya juga dituduh melindungi penjenayah yang sangat dikehendaki oleh Polis iaitu Yusof Che Mit dan Ramli Che Mit. Sebelum polis menyerang, penduduk kampung yang berkumpul di rumah Ibrahim Libya diminta menyerahkan Yusuf dan Ramli, tetapi mereka berdua tidak ada di situ. Beberapa hari kemudian Ramli ditangkap, tetapi tidak pula dibicarakan di mahkamah kerana dia ditahan di bawah ISA.
Ibrahim Libya lahir dan tinggal di Kampung Memali,mukim Siong, Baling, Kedah.
Lulusan Universiti Al Azhar, Mesir. Kemudian menyambung pengajiannya di India dan Libya. Bekerja sebagai pegawai pendakwa di Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri Malaysia.
Beliau kerap berceramah di RTM 1 Malaysia. Kemudian memulakan kelas agama dan sekolah agama di kampungnya di Kampung Memali. Beliau ingin meneruskan usaha tuan-tuan guru pada masa yang dahulu yang membuka sekolah pondok atau sekolah agama. Perjuangannya sealiran dengan PAS dan menyertai PAS kemudiannya.
Pada tahun 1978, atas tiket PAS bertanding di kawasan Bayu-Baling. Beliau memperoleh 5,081 undi berbanding 6,169 undi yang dimenangi Barisan Nasional.

Polis bertindak

Peristiwa Memali adalah insiden yang dituduh oleh parti pemerintah sebagai satu kaedah untuk menghapuskan ajaran sesat.
Di Kem Pasukan Polis Hutan Sungai Petani, Kedah; 3,600 anggota polis daripada pelbagai bahagian termasuk FRU (Pulau Pinang), Pasukan Senoi Praaq, anggota polis beruniform, Unit Tindakan Khas (UTK Berpakaian Komando 69) dari Bukit Aman menerima taklimat dari pegawai Bukit Aman.
Malam itu Ibrahim Mahmud memberi kuliah sehingga jam 11.45 malam . Penduduk seramai 50 orang hadir. Kuliah atau ceramah biasa jarang benar sehingga 11.45 malam. Kecualilah ceramah politik, itupun ada sekatan dan larangan dan perlu permit daripada Balai Polis Daerah.
Sekatan jalan raya dan meminta Ibrahim Libya menyerah diri merupakan tindakan terbaik. Alternatif lain turut difikirkan. 10 orang polis dikatakan telah menyusup masuk ke Kampung Memali dan memberi laporan.
Jika tindakan mengepung dilakukan, mungkin memakan masa 3 bulan. Dua buah kereta perisai digunakan bagi mengelakkan kemalangan di kalangan FRU dan polis. Tambahan pula Baling merupakan kawasan berhampiran sempadan di mana komunis dipercayai masih berkubu . Komunis sentiada mencari titik lemah anggota tentera yang meronda sempadan Malaysia-Thailand.

Persediaan di Madrasah

Ibrahim Libya dan 39 pengikutnya yang tidur di madrasah tersebut telah dimaklumkan oleh seseorang akan bilangan polis yang ramai di Balai Polis Sungai Petani.
Pelbagai senjata ala kampung disediakan seperti kapak, pisau dan buluh runcing. Mereka yang mahir memasang molotov cocktail yang diperbuat daripada minyak tanah dan petrol.
Seluruh pengikut Ibrahim Libya didakwa percaya tubuh mereka kebal setelah minum air telaga di kawasan madrasah. Mereka turut menunaikan solat hajat, membaca surah Yassin dan berzikir sebagaimana pahlawan Islam dahulu.
Sepasukan polis yang terdiri daripada Pasukan Polis Hutan, Senoi Praaq, Polis Anti-Pengganas Unit Tindakan Khas (UTK berpakaian Komando 69), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta Tugas Am bertindak melakukan serbuan di madrasah tersebut. Dalam serbuan tersebut, seorang pegawai kanan Pasukan Polis Hutan, seorang anggota pangkat rendah dan seorang konstabel tertembak. Mengikut sumber dalaman, mereka yang terkorban terkena peluru sesat dari pasukan tersebut itu sendiri semasa serbuan dibuat. Tiada penduduk yang pernah dibicara kerana memiliki senjata api selepas kejadian tersebut.
Dua helikopter polis digunakan bagi membawa pegawai polis yang terkorban. Mangsa yang cedera dan mati dihantar ke Hospital Sungai Petani dan Hospital Alor Star. Dianggarkan seramai 13 penduduk Memali terbunuh dalam serbuan tersebut termasuk Ibrahim Libya. Menurut sumber, beliau ditembak berpuluh kali di dadanya oleh anggota Unit Tindakan Khas (UTK), dan sempat mengucapkan kalimah syahadah dipangkuan seorang pegawai kanan polis yang memangkunya sebelum beliau meninggal dunia. Jenazah Ibrahim serta pengikutnya dikebumikan dalam kubur panjang tanpa dimandikan kerana dipercayai tergolong sebagai para syuhada. Darah dan peluh mereka dikatakan masih basah walaupun sudah berhari-hari di bilik mayat. Sultan Kedah sendiri turun mencemar duli untuk mengunjungi makam tersebut.
Status mereka sebagai syahid disahkan oleh ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Kedah, Tuan Guru Haji Yahya Junid dan Ustaz Azahari Abd Razak berdasarkan mereka yang mempertahankan diri dan harta mereka adalah syahid. Bagaimanapun mereka yang mengeluarkan fatwa berkenaan disingkirkan daripada menganggotai badan fatwa berkenaan.

Korban

1. Ustaz Ibrahim Mahmud, Kampung Charok Puteh, Siong, Baling, Kedah 45 tahun, guru dan pendakwah Islam. Beliau meninggalkan seorang balu yang juga telah ditahan beberapa minggu dalam kem tahanan di markas Polis Hutan Sungai Petani, kemudian dipindahkan ke Penjara di Alor Setar sehingga dibebaskan. Beliau meninggalkan lima orang anak, dua orang sedang bersekolah dan tiga orang lagi masih kecil.

2. Ahmad Hassan, Kampung Alor Melentang, Gunung, Alor Setar, 30 tahun, kerja sendiri, bekas pegawai LPN, bekas ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Kedah 1979-1981, bekas Setiausaha Kerja DPPN Kedah 1981-1983. Beliau meninggalkan seorang balu dan empat orang anak yang masih belum bersekolah.

3. Syafie bin Dahaman, Sekolah Menengah Siong, Baling, 30 tahun, guru Sekolah Menegah Siong, meninggalkan seorang balu dan seorang anak.

4. Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman, Mukim Siong Baling, 72 tahun, penoreh getah. Beliau meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak.

5. Abdul Manaf bin Waden, Kampung Becah Sawa, 58 tahun, penoreh getah, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

6. Ghazali bin Mohd Saman, Kampung Becah Sawa, 36 tahun, merinyu malaria, meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak.

7. Mohd Radzi bin Ahmad, Kampung Ubi Memali, 27 tahun, penoreh getah, meninggalkan empat orang anak dan isterinya telah meninggal sejak beberapa lama.

8. Wan Abdullah @ Idris bin Lebai Kadir, Kampung Charok Bunting, Siong, Baling, 32 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak sebahagiannya masih bersekolah.

9. Mohd Aroff bin Hashim, Kampung Becah, Siong, 36 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.

10. Zamri bin Md Isa, Kampung Charok Puteh, 37 tahun, pemandu; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

11. Abdullah bin Yasin, Kampung, Guar Reban, Kupang, 33 tahun, berniaga; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

12. Mohd Daud bin Kadir, Kampung Becah Sawa, 53 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

13. Ahmad bin Ismail, Kampung Cepir, Sik, 30 tahun, mekanik motosikal; meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak.

14. Haji Abdul Rahman bin Jusoh, Siong, Baling, 69 tahun. Beliau cedera parah dan akhirnya meninggal dunia kerana kecederaan tersebut pada 31 Jan 1986.


****Angkara siapa Lagi*** pembaca boleh jawab sendiri

No comments: