BPR yang dinaiktaraf kepada SPRM adalah diwujudkan atas dasar ingin mengekang gejala rasuah di Malaysia. Badan ini yang diangkat darjatnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia diberi tanggungjawab yang besar untuk mempastikan Negara Malaysia bersih dari rasuah.
Suruhanjaya ini yang diketuai oleh Dato' Mohd Said bin Hamdan sejak akhir-akhir ini telah dilihat sebagai kawan karib Barisan Nasional apabila wujudnya " pilih kasih" dalam siasatan beberapa kes yang berkaitan dengan politik. Ketelusan SPRM telah dipertikaikan oleh orang ramai apabila lebih banyak menyembunyikan kes rasuah dan salah guna kuasa yang dibuat oleh pemimpin BN berbanding dengan pakatan rakyat.
Beberapa kes yang melibatkan isu penculikan 4 adun dan tawaran wang ringgit di Perak langsung tidak disentuh. Begitu juga dengan kes-kes penyalahgunaan kuasa dalam meluluskan beribu -ribu hektar tanah oleh Dato Seri Khir Toyo sewaktu mentadbir Selangor walaupun difahamkan kes ini telah dilaporkan kepada SPRM. Suruhanjaya ini nampaknya lebih gemar untuk menyiasat kes-kes yang melibatkan Pakatan Rakyat seperti dalam kes Pembelian lembu korban dan penyelenggaraan kereta Lexus oleh Dato' Seri Khalid Ibrahim dan kes keputusan speaker DUN Perak yang menggantung MB Zamri dan 6 Exco BN dari menghadiri sidang DUN. Apa sahaja yang dilaporkan oleh BN sudah pasti SPRM akan mengambil tindakan yang cukup pantas dan apa sahaja yang dilaporkan oleh Pakatan Rakyat akan didiamkan oleh SPRM.
Mungkin kita masih ingat apabila Dato' Nasa mengishtiharkan keluar dari BN dan melompat ke PKR maka dalam Televisyen mula kedengaran kenyataan dari SPRM yang akan menyiasat kemungkinan berlaku tawaran wang oleh Dato Seri Anwar Ibrahim terhadap ADUN tersebut tapi apabila Dato Nasa kembali semula ke BN tidak pula kedengaran kenyataan dari SPRM yang akan menyiasat apakah wujud tawaran wang dari BN.
Inilah sebenarnya yang menjadi persoalan kepada orang ramai apakah SPRM betul-betul telus dan adil dalam menangani gejala rasuah. Apakah kerana SPRM sendiri telah di " remote-control" oleh BN . Sekiranya inilah hakikatnya maka negara kita sebenarnya telah berhadapan dengan satu lagi fenomena " Kuda Kepang" di mana BN adalah "penari" yang akan berada di atas belakang kuda kepang dengan menggayakan tarian mengikut lenggok dan alunan muzik yang dimainkan oleh "band" BN.
SPRM perlu lebih berani menyiasat dan membawa ke muka pengadilan sesetengah pemimpin BN yang sebenarnya terlalu banyak menyalahgunakan kuasanya dalam memberi arahan terhadap anggota keselamatan sewaktu tercetusnya isu perlantikan MB BN di Perak. Mereka ini juga telah menghalang Dato Seri Nizar dari memasuki pejabat MB di bangunan SUK sedangkan waktu itu Dato Seri Nizar belum lagi meletakkan jawatan dan MB BN baru juga belum lagi mengangkat sumpah. SPRM sebenarnya perlu telus tanpa mengira fahaman politik dan bertindak sebagai badan bebas demi menjaga kesejahteraan Malaysia dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang betul- betul bebas dari gejala rasuah.
Apa pun yang jelas dalam beberapa kes ini, kita melihat SPRM dan BN adalah seperti "aur dengan tebing" dan "seperti isi dan kulit" yang mana kedua-duanya tidak dapat dipisahkan walaupun SPRM mendakwa Suruhanjaya itu adalah bebas.
wallahuaalam
pak katib
21 Feb 2009
1 comment:
SPRM perlu lebih terbuka
Post a Comment