Hikayat 2 ADUN

Sekarang sudah pun terjawab ke mana sebenarnya haluan politik 2 ADUN dari Changkat Jering dan Behrang ini . Setelah sekian lama bertapa di Pahang untuk menuntut ilmu lompat parti dari Mahaguru buloh Betong. Walaupun setelah didesak berkali-kali oleh YB Nizar supaya membuat pendirian namun tetap juga tidak diendahkan sehinggalah surat perletakkan jawatan sebagai ADUN dihantar kepada speaker.
Maka Bermulalah detik-detik mencemaskan sebagai seorang ADUN yang pada mereka rasa selamat berada di dalam pertapaan. Mungkin kerana takut hilang jawatan sebagai ADUN, maka ADUN ini dengan pantas membuat penafian meletakkan jawatan yang disampaikan melalui seorang wakil.

Perak bergema lagi dengan perkhabaran yang membuat mereka ini rasa cemas apabila pengerusi SPR Perak menerima surat kekosongan jawatan dari speaker dan memungkinkan untuk membuat pilihanraya kecil di Dun Changkat Jering dan Dun Behrang.

Akibat wujud keraguan dari segi kesahihan surat perletakkan jawatan maka selepas bersidang, SPR melalui pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa pilihanraya kecil bagi kedua-dua DUN ini tidak perlu diadakan.

Senyum lebarlah 2 ADUN ini. Mana tidak sekurang-kurangnya mereka ni boleh berangan untuk menyertai BN walaupun sekarang ni salah seorang ADUN telah pun menyatakan bahawa beliau sekarang ini adalah ADUN BEBAS kerana tidak boleh berada sepayung dengan Pakatan Rakyat dan mendakwa bahawa Pakatan Rakyat Perak membuang mereka.

Sebenarnya rakyat telah pun dapat membaca strategi 2 ADUN ini apatah lagi di belakangnya ada tok dalang yang cukup bijak bermain wayang dan meniup serunai agar melompat ke BN.

Persoalannya sekarang apakah BN betul-betul komited untuk berdampingan dengan 2 ADUN ini yang masih lagi dalam siasatan akibat kes rasuah seks dan akan dibicarakan pada 10 Februari ini.

Mungkin ramai masih ingat dengan kenyataan PM yang merangkap Presiden UMNO yang mahukan wakil rakyat yang bersih dari rasuah. Apakah BN sudah terdesak untuk membentuk kerajaan di Perak sehingga sanggup menjemput ADUN yang bermasalah.

Sekiranya 2 ADUN ini menyertai BN bermakna BN sekali lagi akan dipandang sebagai parti yang sukakan rasuah. BN perlu mengambil iktibar dengan beberapa ahlinya yang sekarang ini masih lagi dalam siasatan polis dan ada juga yang telah dilanyak oleh SPRM sebagaimana yang berlaku baru-baru ini. bukan itu sahaja malah bekas wakil rakyat di Selangor yang masih lagi ahli UMNO sekarang turut ini didakwa atas tuduhan rasuah.

Ketiadaan 2 ADUN ini dalam pakatan rakyat sebenarnya tidak merugikan apa -apa dan sememangnya Pakatan Rakyat tidak suka menyimpan "biawak hidup " yang pada suatu hari nanti akan merosakkan parti. orang yang mempunyai perjuangan yang sebegini berada dalam mana-mana parti pun tidak akan berubah. mereka ini hanya nampak kepentingan peribadi sahaja sedangkan apa yang perlu diperjuangkan ialah nasib rakyat dan kepentingan rakyat.

Apa yang dapat digambarkan adalah kedua-duanya dalam keadaan terdesak. BN terdesak unuk menubuhkan kerajaan di Perak dan 2 ADUN ini pula terdesak untuk melepaskan diri daripada tuduhan rasuah.

Sebagai rakyat kita diberi akal dan fikiran untuk menilai kebenaran dan kepalsuan.



pak katib







3 Feb 2009

No comments: