Kerajaan baru BN yang masih lagi samar masa depannya di Perak telah pun berusia 3 hari. Rata-rata rakyat Perak khususnya dari pakatan Rakyat masih lagi belum dapat menerima keputusan ini apatah lagi bentuk peralihan ini berlaku dengan membelakangkan Undang-undang Tubuh Negeri. Peralihan yang menyaksikan demonstrasi dan tunjuk perasaan di perkarangan masjid Ubudiyah Kuala kangsar telah memberi banyak implikasi kepada semua pihak.
Persoalan-persoalan terus timbul dari segi sejauhmanakah kestabilan politik di Perak berdasarkan kerusi yang menyokong BN terlalu tipis dan mengundang kepada satu senario yang terlalu perlu berhati-hati. Trend dan budaya lompat parti yang pernah berlaku sebelum ini sudah tentu akan menggusarkan BN sendiri. Senarai Exco yang dijangka tidak memuatkan nama bekas ahli PKR dan DAP ini sekaligus akan mengundang sedikit kekecewaan dan tak mustahil akan berlaku satu kejutan lagi selepas ini. Ini hanyalah andaian dan analisis berdasarkan pemerhatian. Kenyataan Dato Seri Najib yang membandingkan kelebihan satu kerusi (PAS) di Kelantan sebenarnya bukanlah ukuran yang sebenar. Ini kerana orang-orang PAS telah diajar untuk setia dengan parti. Perkara ini tidak berlaku dalam UMNO-BN yang mana telah dibuktikan dengan kemasukkan Dato Nasa ke dalam PKR selama beberapa hari sebelum melompat semula ke UMNO.
Adakah 3 orang ADUN yang melompat ke BN itu betul-betul setia? Adakah 2 orang ADUN yang dalam kes rasuah ini akan bersih dari rasuah selepas menyertai BN? Apakah kes ke dua-dua ADUN ini akan selesai atau didapati tidak bersalah selepas 10 feb ini setelah mereka ini menyertai BN? Sekiranya didapati tidak bersalah, apakah rakyat perak akan melihat ianya satu permainan politik BN yang akan cuba melindungi pesalah.
Persoalan-persoalan ini sudah pasti akan bermain dalam fikiran masyarakat khususnya rakyat perak yang akan melihat watak dan wajah BN yang sebenar. sudah pasti orang-orang dalam BN yang dulunya cukup setia dengan parti akan memikirkan bahawa BN tidak lagi sejujur dulu dalam memperjuangkan isu-isu nasional dan memartabatkan ketuanan Melayu.
Isu derhaka yang dimainkan dan dicanangkan oleh BN melalui media massa sebenarnya tidak akan memberi kesan. Rakyat Perak sebenarnya tidak menderhakan kepada Sultan. Apa yang ditonjolkan dalam protes di Kuala Kangsar adalah ingin meluahkan dan berjumpa dengan sultan agar sultan mempertimbangkan pembubaran DUN. Mungkin disebabkan provokasi oleh pihak-pihak tertentu menyebabkan berlaku perkara sebagaimana yang dilabelkan oleh sesetengah pemimpin BN sebagai perbuatan menderhaka dan tidak bertamadun.
Rakyat perak cuma mahu kan Sultan mendengar rayuan mereka dan supaya Sultan lebih adil dan menyerahkan kuasa memilih kerajaan Perak kepada rakyat. Rakyat tetap menyanjung tinggi kedaulatan raja sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan negara.
Mungkin isu ini sengaja digembar-gemburkan oleh sesetengah pemimpin BN bertujuan untuk mengalih tumpuan kepada corak pengambilan kerajaan oleh BN.
Pakatan Rakyat juga perlu melihat isu ini sebagai satu pengajaran dalam memilih calon yang betul-betul memperjuangkan kepentingan rakyat. Bukannya Calon yang apabila menang atas tiket PKR atau DAP kemudiannya akan beralih arah. perbuatan begini sekaligus menampakkan bahawa Wakil rakyat ini telah pun menipu pengundi dan pengundi pula diperbodohkan atas kepentingan peribadi.
Saya bersetuju sekiranya ADUN yang ingin melompat parti perlu meletakkan jawatan sebab jawatan yang disandang sekarang adalah jawatan rakyat yang diamanahkan oleh ADUN tersebut untuk menjadi wakil kepada mereka.
Apa pun kita sebagai manusia yang diberi akal dan fikiran sudah pasti dapat menilai kebenaran dan kepalsuan. Pilihanraya akan datang sudah pasti akan terjawab siapakah sebenarnya pilihan rakyat di Perak. Allah yang lebih mengetahui segala perancangan dan perancangan Allah lagi Hebat.
Wallahuaalam
Pak Katib ( 9 feb 2009)
Genset 20 KVA: Sumber Daya Listrik Tangguh untuk Berbagai Kebutuhan
-
Listrik adalah salah satu kebutuhan pokok dalam kehidupan sehari-hari
kita. Hampir semua aspek kehidupan modern bergantung pada pasokan listrik
yang and...
1 year ago
No comments:
Post a Comment