Arumugam sihat dan selamat - Azmin

SUNGAI PETANI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Bukit Selambau yang dilaporkan telah meletak jawatan, V.Arumugam dipercayai dalam keadaan sihat dan selamat walaupun pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri tidak tahu dimana beliau berada sekarang.
Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, Arumugam sememangnya disahkan meletak jawatan dan parti itu telah menerima peletakan keduadua jawatan iaiu sebagai wakil rakyat dan Anggota Exco Kerajaan Negeri Kedah itu.
"Dia (Arumugam) sihat dan selamat... saya tidak tahu di mana dia berada sekarang sebab dia telah letak jawatan dan dia bebas pergi kemana-manapun," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat dan perjumpaan dengan PKR Bahagian Merbok di sini hari ini.
Katanya, pengesahan peletakan jawatan wakil rakyat PKR itu tidak perlu dipertikaikan kerana Arumugam sendiri telah menemui Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memaklumkan peletakan jawatannya.
Beliau berkata, Arumugam juga telah mendakwa bahawa beliau telah membuat aduan polis mengenai pelbagai ugutan yang diterimanya tetapi malangnya tiada sebarang tindakan diambil.
Azmin berkata, Arumugam telah mengikut prosedur yang betul untuk meletak jawatan iaitu dengan menghantar surat kepada Speaker Dewan Undangan Negeri dan juga kepada Menteri Besar.
Katanya, seseorang wakil rakyat tidak perlu secara fizikal hadir dan menghantar surat peletakan jawatannya kepada SPR kerana tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan berbuat demikian.
Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peletakan jawatan Arumugam masih belum sahih kerana surat peletakan jawatannya cuma dibaca oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Katanya, terpulanglah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengesahkan kesahihan surat peletakan jawatan Arumugam itu.
Arumugam telah "menghilangkan" diri dan tidak muncul untuk membuat sebarang kenyataan serta gagal dihubungi oleh Azizan dan wartawan. BERNAMA

sumber : mstar

No comments: