Tarif elektrik turun

PUTRAJAYA 11 Feb. - Tarif elektrik akan diturunkan pada purata 3.7 peratus kepada 31.3 sen sekilowat jam (kWj) daripada 32.5 sen kWj mulai 1 Mac ini.

Para pengguna domestik akan mengalami penurunan tarif elektrik secara purata sebanyak 2.54 peratus manakala pengguna komersial 2.7 peratus dan industri 5 peratus.

Menteri Tenaga Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, pengecualian pembayaran bil elektrik bagi pengguna yang bil elektriknya berjumlah RM20 ke bawah akan diteruskan sehingga 31 Disember ini.

“Kerajaan juga telah menetapkan supaya talian elektrik seumur hidup bagi pengguna domestik yang menggunakan elektrik 200 kWj ke bawah sebulan dikekalkan pada kadar tarif sedia ada iaitu 21.8 sen kWj memandangkan pengguna dalam kategori ini tidak mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik sejak tahun 1998,” katanya kepada pemberita ketika mengumumkan penurunan tarif elektrik di sini hari ini.

Shaziman berkata, kerajaan juga bersetuju supaya bekalan gas tambahan sebanyak 100 mmscfd (kaki padu standard sehari) akan diberikan kepada sektor industri daripada sektor elektrik sebagai langkah kerajaan menggerakkan sektor tersebut dan memberi keyakinan kepada pelabur asing untuk membuat pelaburan di negara ini.

Beliau menambah, kementerian juga mencadangkan supaya syarikat pengagihan air yang tidak layak menikmati kemudahan tarif khas industri diberi bantuan melalui diskaun tarif elektrik supaya kerajaan dapat memastikan tarif air adalah pada kadar tidak terlalu membebankan pengguna.


Shaziman menjelaskan, penurunan dalam peratusan yang kecil itu disebabkan harga arang batu di pasaran yang masih meningkat iaitu AS$85 (RM306) setan berbanding hanya AS$75 (RM270) setan pada Julai tahun lalu.

‘‘Dengan mengambil kira suasana kelembapan ekonomi dunia sekarang yang memberi kesan kepada rakyat, kementerian telah mempercepatkan penyelarasan tarif elektrik kepada 1 Mac berbanding 1 Julai depan seperti dirancang.

‘‘Tarif elektrik ini akan disemak semula iaitu pada 1 Julai ini dan semakan seterusnya setiap enam bulan bagi membolehkan tarif elektrik diselaraskan dengan harga gas dan arang batu yang tidak menentu di pasaran antarabangsa,” katanya.

Shaziman berkata, kementeriannya juga telah mencadangkan supaya mekanisme tidak menikmati keuntungan (fuel pass through) diperkenalkan supaya perubahan harga bahan api diambil kira dalam penetapan tarif elektrik pada masa depan.

‘‘Ini selaras dengan hasrat kerajaan supaya harga tenaga elektrik menjurus kepada harga pasaran,” katanya.

sumber : utusan Malaysia

No comments: