Pengundi Cina dan India beralih arah- BN kian tersepit

Hasil dari tinjauan dan pemerhatian selama tercetusnya beberapa isu di Perak, Kedah dan Selangor serta kekalahan teruk BN dalam Pilihanraya Ke 12 telah jelas menunjukkan bahawa telah berlaku satu sokongan yang baru dari kaum lain khususnya cina dan india terhadap Pakatan Rakyat. Beberapa blog berbahasa inggeris yang ditulis oleh kaum Cina dan India begitu lantang mempersoalkan keikhlasan BN dalam mewujudkan keadilan untuk semua. Mereka ini telah mempertikaikan banyak perkara khususnya diskriminasi kaum yang masih wujud di negara ini.

Masyarakat Cina dan India bukannya mempertikaikan hak dan keistemewaan orang Melayu tapi lebih kepada sikap BN sendiri yang hanya tahu megula-gulakan mereka sedangkan pada dasarnya hanya sebahagian daripada mereka yang kaya sahaja yang mendapat keistemewaan sedangkan orang -orang miskin masih lagi terbiar dan ketinggalan. Kaum India contohnya masih lagi berada di ladang-ladang dengan kehidupan yang daif dan hanya bergantung kepada kepada pendapatan yang tak seberapa bak " kais pagi makan pagi, kais petang makan petang".

BN juga secara terang-terangan mempertikaikan pemberian geran selama 999 tahun yang telah pun diputuskan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Di Perak kepada penduduk Cina di Kg Baru sedangkan hakikatnya mereka berhak mendapatkannya kerana tempat itu telah pun didiami oleh mereka sejak bertahun lagi dan kebanyakkannya adalah dari masyarakat Cina yang miskin. Keadaan ini telah menyebabkan mereka tidak lagi yakin dengan BN yang dianggap oleh mereka sebagai pemimpin yang hanya tahu menjaga kebajikan orang melayu sahaja.

Kenapa perlu dipertikaikan pemberian geran ini kepada orang miskin di Kg Baru sedangkan rata-rata yang berpenghuni di situ adalah miskin dan memerlukan pembelaan. Kenapa sebelum ini BN tidak mempertikaikan pemberian tanah kepada individu yang sudah pun memiliki bukit Genting. Persoalan-persoalan sebegini telah menyebabkan keyakinan mereka terhadap BN kian terhakis dan menyebabkan mereka beralih arah kepada Pakatan Rakyat yang sememangnya membela nasib semua kaum tanpa mengira Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Penghijrahan pengundi Cina dan India terhadap Pakatan Rakyat semakin ketara apabila berlakunya peralihan kuasa yang berstatus tidak sah di Perak sehinggakan ada masyarakat Cina mengadakan upacara sembahyang bagi menghalau roh-roh jahat yang kini berleluasa di Perak. Pengundi Cina dan India mengharapkan satu peralihan kuasa secara demokrasi bukannya mengikut jalan belakang.

Pakatan Rakyat di bawah Dato Seri Nizar telah mentadbir perak dengan penuh adil dan saksama tanpa mengira kaum sebelum ini telah disingkir secara tak berhemah oleh BN dengan membelakangkan Undang-Undang Tubuh Negeri dan menjadikan sultan sebagai sandaran bagi memenuhi kehendak mereka. Bukan setakat itu sahaja, BN melalui media massanya telah menabur fitnah ke seluruh negara dengan mengatakan pemimpin pakatan Rakyat telah menderhaka kepada sultan sehingga mewujudkan satu suasana tidak sihat di Perak. BN sudah hampir terlupa bahawa mereka lah orang yang pertama mengheret sultan ke kancah politik dan mereka lah juga yang telah menghilangkan kekebalan raja-raja Melayu sewaktu era Tun Mahadhir dulu. Bukan setakat itu sahaja, malah di Terengganu, penyokong-penyokong BN dengan terang-terangan menaikan kain rentang menghina sultan dengan ungkapan " Natang" ( Binatang). Kenapa waktu itu NGO yang pro -BN tidak berarak dan berdemo bagi menunjukkan mereka ini taat kepada sultan. Kenapa media massa kerajaan khususnya TV1, TV3 tidak mengetuk canang dan membuat liputan terhadap kebiadaban penyokong-penyokong BN ini? Jawapannya kerana yang melakukan angkara begitu adalah UMNO.

Isu-isu sebegini yang dilihat sebagai " Double Standard" telah menyebabkan rakyat hilang keyakinan dan muak dengan BN. Dalam komponen BN sendiri telah ada parti yang telah pun keluar dan akan keluar dan kita pernah dengar suatu ketika dahulu bagaimana SUPP telah mengisytiharkan keluar dari BN kemudiannya Dato Seri Dr. Mahathir juga keluar dari menjadi ahli UMNO dan selepas beberapa bulan pilihanraya ke 12 yang menyaksikan kekalahan teruk BN, parti Gerakan juga ada me war-warkan untuk membuat kutipan suara samada masih ingin terus berada dalam BN atau sebaliknya. Ramai pengundi-pengundi dalam gerakan telah berpaling tadah dan menyokong pakatan rakyat.

Kewujudan Hindraf yang diwujudkan atas dasar ingin membela nasib kaum India dan memansuhkan ISA yang mengurung tanpa bicara beberapa pemimpin kanan mereka telah diharamkan oleh BN atas alasan keselamatan dan menganggu orang awam. Pengharaman ini telah mengakibatkan rasa tidak puas hati masyarakat India yang mengharapkan ada pertubuhan baru yang menggantikan MIC yang dilihat sebagai parti yang sudah nyanyuk dan tidak berupaya mengubah nasib kaum India. MIC di Perak telah tumbang semua kerusi yang dipertandingkan begitu juga dengan negeri-negeri lain. Keputusan ini menunjukkan bahawa MIC tidak lagi menjadi tempat mengadu nasib bagi masyarakat India. Selama berpuluh tahun MIC di bawah Dato Seri S. Samy Vellu tidak mampu mengubah nasib kaum India yang semakin hari semakin terpinggir. Sikap keras kepala S. Samy Vellu yang tidak mahu berundur walaupun telah didesak oleh akar umbi menyebabkan pengundi India menganggap bahawa MIC adalah parti S. Samy Vellu sahaja bukannya mewakili kaum India.

Ini adalah sebahagian sahaja daripada sebab-sebab mengapa masyarakat Cina dan India tidak lagi menyokong BN dan beralih kepada Pakatan Rakyat. Banyak lagi sebab-sebab lain yang dirasakan tak perlu dihuraikan panjang lebar.

Yang jelas di sini, masyarakat Cina dan India lebih mempercayai Pakatan Rakyat yang mampu mengubah nasib mereka. Dalam ceramah-ceramah dan rapat umum yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat ( PAS, PKR dan DAP) telah dihadiri oleh beribu-ribu orang dari kaum -kaum ini yang dahulunya hanya dimonopoli oleh orang Melayu sahaja. Bukan sahaja di Perak tapi juga di seluruh Malaysia telah menyaksikan perubahan ini.

Ayuh kita bangun dari tidur yang dibuai dan dodoikan lagu-lagu pembohongan oleh BN supaya kita terus tidur. Bangkitlah menegakkan keadilan dan kebenaran. Buka lah mata dan parti yang sudah nyanyuk harus kita tinggalkan agar ianya tidak akan merosakkan bangsa Malaysia yang ingin hidup aman dan harmoni.

Wallahuaalam

Pak katib

20 Feb 2009

No comments: