SPR wajar semak keputusan, penduduk mahu pilihan raya kecil - Yang Dipertua PAS Bukit Gantang

CHANGKAT JERING, 3 Feb- Suruhajaya Pilihan raya (SPR) wajar menyemak semula keputusannya mengekalkan dua kerusi Dun, Changkat Jering dan Behrang kerana ianya membabitkan keputusan Speaker yang telah menyerahkan surat perletakan jawatan mereka yang harus diterima oleh SPR sendiri sekaligus mengisyhtiharkan pilihan raya kecil
Iklan
Demikian reaksi awal Yang Dipertua PAS kawasan Bukit Gantang Ustaz Mohammad Nordin Jaafar ketika mendapat SMS Berita Harakah berhubung keputusan terkini SPR, sewaktu sedang diwawancara Harakahdaily jam 1.15 petang tadi
"Kita tidak puas hatilah dengan keputusan SPR itu malah keputusan yang dibuat dilihat begitu tergesa-gesa. Kalau kaji atau semak surat, ambil masa lama untuk disiasat tetapi ini sekejap sahaja diumumkan," katanya yang telah menggerakkan jentera parti kawasan berkemungkinan untuk berhadapan dengan pilihan raya.
Kawasan Bukit Gantang mempunyai tiga DUN iaitu Dun Tong, Sepetang dan Changkat Jering. Hadir sama dalam wawancara terbabit ialah pegawai khas Ahli Parlimen Bukit Gantang, Shaharuddin Ahmad Sani dan Yang Dipertua PAS Taiping Bandar Abdul Halim Aziz.
Katanya, penduduk sekitar dan penyokong Pakatan Rakyat khususnya PAS telah bersedia dari awal lagi untuk bertembung dengan 'perang kali' kedua ini dan bukannya bermula dengan insiden kehilangan enam hari dua Adun tersebut.
Beliau percaya, kehilangan Adun itu ada hubungannya dengan isu ugutan terhadap keputusan pertuduhan rasuah yang bakal dibicarakan pada 10 Februari ini.
"Saya sendiri beberapa kali dan hari menghubungi Adun Changkat Jering, Osman Jalu untuk mengetahui kedudukannya yang dikatakan 'bersembunyi' secara tiba-tiba lima hari lalu namun tiada dapat jawapan.
"Kita tidak terkejut dengan tindakan Umno 'melarikan' adun terbabit sebab itu sudah pun memang kerja dia. Malah saya ketika bertanding 2004 di Dun Changkat Jering ini turut diminta menarik diri oleh pihak-pihak yang tertentu.
"Kita juga tidak pernah menyalahkan parti komponen Pakatan Rakyat tetapi peribadi calon yang menimbulkan keraguan masyarakat, seolah-olah penduduk tertipu dan marah dengan kejadian ini" katanya ketika ditemui di Markas PAS Ayer Kuning,Taiping sebentar tadi.
Sekiranya diadakan pilihan raya kecil kelak di Dun ini kata Mohammad, PAS kawasan akan menyokong penuh sesiapa sahaja calon yang dipilih oleh Pakatan Rakyat.
"Kita tidak kisah siapa calon.Yang penting ialah memastikan kemenangan seterusnya mengukuhkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat,"katanya.
Petang tadi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, Mohd. Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi - dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) - yang dilaporkan telah meletak jawatan kelmarin, masih sah sebagai wakil rakyat.
Dengan itu SPR mengisytiharkan tidak wujud kekosongan bagi kedua-dua kerusi berkenaan.
Ia diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof kira-kira pukul 12.45 tengah hari tadi selepas mengadakan mesyuarat hampir dua jam di sini.
Dengan itu pilihan raya kecil bagi kedua-dua kerusi berkenaan tidak akan diadakan.- azm

sumber : Harakah

No comments: