Tinjauan Umum: Raikan kepulangan Adun dengan 'kasut'

CHANGKAT JERING, 4 Feb (Hrkh) - Ramai penduduk di sekitar Dun Changkat Jering dan Taiping tidak 'sabar' menanti kepulangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mohd. Osman Jailu yang dilaporkan hilang dan masih tidak muncul di kawasan mereka.

Reaksi awal beberapa penduduk kesal dengan tindakan beliau yang 'hilang' tanpa berita dan tidak lagi menumpukan keraja-kerja kawasan khususnya melibatkan masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk sekitarnya.


Malah, ada yang mahu penjelasan sebenar daripada beliau berhubung isu yang dilihat cuba 'menganggu-gugat' kestabilan politik kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak.
"Kita pilih dia untuk mewakili kita dan bukan buat hal macam ini sehingga mengundang marah orang ramai. Akibat tindakan dia kemungkinan pilihan raya kecil diadakan yang bakal membazirkan wang rakyat sekali lagi sedangkan ita mahu urusan harian berjalan seperti biasa," kata penduduk Air Kuning yang mahu dikenali sebagai Khairuddin yang berkerja sebagai guru di Rapat Setia, Ipoh.
Berbeza dengan pendapat dua orng wanita yang ditemui, dipercayai penyokong PAS berdasarkan hujah yang disampaikan iaitu mahu pilihan raya kecil diadakan bagi 'membersih' dan menggantikan calon yang telah terbukti membelakangkan harapan penduduk setempat.
"Ada baiknya buat pilihan raya balik, supaya yang kotor kita bersihkan dan mana yang rosak kita betulkan balik," kata Hanim, 53 kepada Harakahdaily.
Selain itu seorang bekas kakitangan kerajaan, Daud Ishak, 62 mahu pilihan raya diadakan tetapi mahu kuota kerusi Changkat Jering ini diserahkan kembali kepada PAS memandangkan kawasan ini sejak dulu merupakan kubu kuat PAS dan tidak mahu insiden 'pisang berbuah dua kali' berulang yang menjejaskan nasib penduduk di sekitarnya.
Bagi Aktivis PAS yang ditemui di Markas PAS Air Kuning Shahahudin bersedia menerima sesiapa pun calon yang dipilih oleh Pakatan Rakyat kerana baginya yang paling penting memastikan kerajaan negeri Perak kukuh.
Dalam pada itu, Yang Dipertua PAS kawasan Taiping Bandar Haji Abdul Halim Aziz berkata, rata-rata penduduk sekitar sudah tidak sabar lagi menanti pilihan raya kecil di adakan di Changkat Jering untuk membuktikan bahawa Pakatan Rakyat akan terus memenangi sekali lagi seperti yang berlaku di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.
"Momentum semangat 8 Mac, Permatang Pauh dan Kuala Terengganu masih kuat dan gelombang itu akan sekali lagi berlaku jika pilihan raya kecil di adakan di Perak. Kita akan buktikan sekali lagi dan lagi," katanya yang merupakan bekas pengetua sekolah menengah.
Sementera itu, Harakahdaily juga cuba 'menyamar' sambil 'mencuri' dengar perbincangan beberapa penduduk setempat di warung kedai makan berhampiran untuk mendapat respon balas terhadap Adun mereka itu.
Mengejutkan rata-rata memberi idea lucu dan penuh 'sarkastik' sesuai dengan tindakan Adun tersebut iaitu meraikan kepulangannya dengan balingan kasut!
Ilham itu dipercayai diperolehi daripada insiden Murtadza, wartawan Iraq yang membaling kasut ke arah bekas Presiden Amerika Syarikat George W. Bush yang telah 'merosakkan' Iraq.
Mungkin tindakan biadap Bush tidak boleh disamakan dengan sikap Osman namun meraka mengatakan bahawa tindakan Adun mereka itu juga telah cuba merosakkan negeri Perak.
Ya, kita tunggu dan lihat sama ada kepulangan itu direalisaikan dengan idea lucu penuh sinis itu!- azm _

sumber : harakah

No comments: