Ibrahim Ali " Raja lompat"


Ibrahim Ali di Kelantan sudah tidak asing lagi khususnya bagi pengundi Parlimen Pasir Mas. Kontroversi demi kontroversi sudah pasti akan diwujudkan samada sewaktu berada di dalam Kerajaan atau pun di luar kerajaan. Gelaran "raja katak" bermula apabila beliau mengambil keputusan untuk keluar dari BN dan memasuki Semangat 46 dan kemudiannya selepas kemenangan beliau dalam DUN di Kelantan pada 1990 beliau sekali lagi menyertai UMNO. Bermula dari sinilah Ibrahim Ali lebih dikenali dengan panggilan "katak lompat" dan Dato' " Kaya parti" bagi orang Kelantan kerana menyertai banyak parti dalam tempoh yang singkat.


Penghijrahan Dato' Ibrahim Ali ke dalam BN sebenarnya tidaklah begitu disenangi oleh sesetengah pemimpin BN kerana beliau ini adalah seorang yang lantang mengkritik dan juga pernah mengkritik beberapa pemimpin BN dalam persidangan agong UMNO. Akibat rasa tidak puas hati Ibrahim Ali terhadap beberapa kerat orang dalam UMNO beliau kemudiannya mengambil keputusan bertanding atas tiket bebas dalam pilihanraya ke 11 pada tahun 2004 setelah digugurkan dari jawatan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas pada 22 November 2003. Dalam pilihanraya tersebut Ibrahim Ali hanya mendapat 415 undi.

Ibrahim seorang yang bijak memainkan peranan beliau dalam mempengaruhi Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan kemudiannya diberi peluang untuk bertanding atas tiket bebas dengan menggunakan simbol PAS dalam pilihanraya ke 12 di Parlimen Pasir Mas. Dato' Ibrahim Ali telah memenangi kerusi tersebut dengan majorit 8,991. Pas terpaksa mengenepikan luahan pengundi Pasir Mas semata-mata untuk melihat Ibrahim Ali "berkokok" di dalam parlimen bagi membawa suara warga Pasir Mas dan PAS walaupun atas tiket bebas. Peluang yang diberikan ini telah digunakan sebaik mungkin untuk meredah dan menghentam mana-mana perkara yang dianggap oleh beliau patut dibahaskan dan diperdebatkan. Kelantangan beliau di parlimen bukan sahaja mengkritik ahli-ahli parlimen barisan nasional tetapi juga pakatan rakyat.

Sejak akhir-akhir ini Ibrahim Ali dilihat lebih cenderung kepada kerajaan sehingga sanggup menghentam Pakatan Rakyat khususnya isu yang berlaku di Perak. Jelas di sini Ibrahim Ali sudah lupa jasa dan pengorbanan Pas di bawah mursyidul am Tuan Guru Hj. Nik Abd Aziz serta pengundi P22 Parlimen Pasir Mas. Apakah Dato' Ibrahim Ali juga sudah diintai dan bakal dilamar oleh BN bagi memperkuatkan lagi kerusi parlimen kerajaan di Malaysia. Apakah Ibrahim Ali lupa bahawa beliau sebenarnya telah digantung seumur hidup oleh UMNO dan peluang untuk bersama UMNO adalah tipis kecuali dipertimbangkan melalui budi bicara Biro Disiplin Umno yang sudah pun terkenal dengan undang-undang " tulis dan padam".

Bagi orang PAS di Kelantan sudah pasti ini adalah peluang terakhir Ibrahim Ali untuk berada di kerusi empuk hasil dari undi PAS dan beberapa kerat penyokong Ibrahim Ali di Kelantan. Dalam kenyataan akhbar 22 feb 2009 Ibrahim Ali telah menganggap beliau adalah seorang yang bodoh sekiranya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas walaupun telah didesak oleh pemimpin PAS dan malah Ibrahim Ali mendabik dada mengatakan bahawa kemenangan PAS di Kelantan adalah disebabkan oleh pengaruh dan pertolongan beliau. Hujah beliau bagi orang PAS kelantan seperti "kacang lupakan kulit". Ibrahim Ali tak ubah seperti "melepaskan anjung tersepit" yang akan mengiggit kembali orang yang cuba membantunya.

Kebiadaban dan kelantangan Ibrahim Ali yang tidak bertempat ini harus diambil pengajaran oleh pemimpin Pas supaya lebih berhati-hati supaya tidak mengambil pengemis yang berada di tepi jalan, dipakaikan baju, diberikan makan dan apabila sudah kenyang dibakarnya pula tempat kediaman orang yang membantunya.

Ini bukanlah satu provokasi tapi cuba mengajak pembaca memahami siapa sebenarnya "Ibrahim Ali ". samada beliau seorang yang jujur dan ikhlas dalam perjuangan hanya Allah sahaja yang tahu.


Wallahuaalam.


pak katib


22 Feb 2009





Biodata Ibrahim Ali yang dipetik dari Wikipedia Bahasa Melayu



Datuk Paduka Ibrahim Ali merupakan ahli politik Malaysia berumur 57 tahun, berasal dari daerah Pasir Mas, Kelantan.


Sejarah pendidikan


Beliau merupakan pemimpin pelajar UiTM dan pernah beberapa kali menyertai demonstrasi pada tahun 1974 . Beliau pernah menemui tokoh Revolusi Iran, Ayatollah Ruhullah Khomeini di Tehran, Iran pada 1979.

Sejarah politik


Beliau menyertai parti UMNO dan pernah memenangi parlimen Pasir Mas, Kelantan atas tiket Barisan Nasional - UMNO. Beliau pernah menjadi Exco Pemuda UMNO sekitar tahun 1987.Kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sewaktu Perdana Menteri , Tun Dr Mahathir Mohamad.
Apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 dan bergabung dengan PAS , beliau turut menyertai Tengku Razaleigh Hamzah. Angkatan Perpaduan Ummah hasil gabungan PAS dan Semangat 46 berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional di Kelantan pada tahun 1990.
Apabila Tengku Razaleigh menyertai semula UMNO dan membubarkan Semangat 46, beliau turut menyertai UMNO. Tetapi dipecat dari UMNO dan dilucutkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas pada 22 November 2003 dan keahliannya dalam UMNO digantung seumur hidup.
Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2004, Datuk Ibrahim Ali telah bertanding dalam kawasan Pasir Mas sebagai calon bebas. Tetapi beliau tewas. Dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, beliau sekali lagi bertanding tetapi tewas kepada calon Barisan Nasional, Hanafi Mamat dan hilang wang pertaruhan. Beliau hanya mendapat 415 undi sahaja.
Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008, beliau bertanding atas tiket PAS di kawasan Pasir Mas oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Walaupun begitu, beliau tetap menganggap dirinya tidak terikat pada mana-mana parti walaupun bertanding di atas tiket PAS.


Isu Kontroversi


Lompat parti


Bagi orang lain beliau dikenali sebagai orang yang suka lompat parti tetapi bagi beliau 'Saya hanya tukar parti, bukan tukar agama'.

P22 PASIR MAS


Jumlah Pengundi: 59,640


Peratusan Kaum: M: 96.01% C: 3.66% I: 0.13% L: 0.19%


1. Datuk Ibrahim Ali (Pas) (28,673)

2. Ahmad Rosdi Mahamad (BN) (19,682)
Majoriti: 8,991

Jumlah undi: 49,219

Peratus mengundi: 82.53%

Undi rosak: 864



Penyandang: Ismail Noh (Pas) (Majoriti: 1,251 undi)

No comments: