Pemimpin bahagian PKR Perak didakwa fitnah Najib

IPOH 3 Feb. - Satu laporan polis dibuat hari ini terhadap Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Ipoh Barat, Fauzi Muda, kerana didakwa memfitnah Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya Timbalan Perdana Menteri menawarkan RM50 juta kepada mana-mana anggota Dewan Undangan Negeri daripada Pakatan Rakyat di Perak supaya menyertai Barisan Nasional.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Ipoh Barat, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi yang membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam di sini, berkata kenyataan Fauzi yang membuat akuan bersumpah bahawa Najib membuat tawaran berkenaan, adalah berunsur fitnah yang menimbulkan rasa resah, gelisah dan tidak puas hati masyarakat.
“Kenyataan Fauzi memberi gambaran bahawa pemimpin tertinggi negara adalah tidak bermoral dan korup dan ini boleh memnimbulkan suasana tegang di kalangan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.
Di Balai Polis Daerah Ipoh pula, Ketua Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) Jason Chang membuat laporan polis meminta siasatan dijalankan terhadap anggota exco kanan kerajaan negeri Perak Datuk Ngeh Koo Ham kerana didakwa membuat fitnah kononnya ada beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri dari BN di Perak dan di Negeri Sembilan akan menyertai Pakatan Rakyat.
“Saya ingin mencabar beliau supaya menamakan ADUN yang akan melompat dalam tempoh seminggu. Sebagai pemimpin bertanggungjawab, jika beliau gagal, sila letak jawatan,” katanya.
- Bernama

sumber : utusan malaysia

No comments: