Isu gambar Bogel- Elizebeth Wong tawar letak jawatan

[DIKEMAS KINI, 7 PETANG] PETALING JAYA: Elizabeth Wong, yang telah memutuskan untuk meletakkan jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan ADUN Bukit Lanjan ekoran tersebarnya gambar separuh berbogel sejak beberapa hari lalu, diambil keterangan oleh polis sebentar tadi.
Beliau memberikan kenyataan di pejabat peguamnya di sini kira-kira pukul 5.30 petang tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mengesahkan yang pihaknya telah mendapatkan keterangan daripada wakil rakyat berkenaan.
Wong telah membuat laporan di Balai Polis Damansara Ahad lalu.
Beliau menemui polis kira-kira enam jam selepas muncul pada sidang media di Ibu Pejabat PKR pagi tadi.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah "menolak" hasrat Wong untuk meletakkan jawatan.
Sebaliknya mereka meminta beliau memikirkan semula sambil mengambil cuti selama satu tempoh yang belum ditetapkan.
BERITA TERDAHULU
Elizabeth mahu undur MB, Anwar nasihat cuti
[DIKEMAS KINI, 4.20 PETANG] PETALING JAYA: Elizabeth Wong, yang memutuskan hasrat untuk meletakkan jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan ADUN Bukit Lanjan ekoran tersebarnya gambar separuh berbogel, telah dinasihatkan agar bercuti buat sementara waktu.
Menteri Besar Selangor berkata, beliau telah menasihatkan Wong agar bercuti dan mengambil rehat yang sewajarnya.
Bagaimanapun beliau tidak menyatakan berapa lama Wong dinasihatkan supaya bercuti.
Nasihat yang sama turut diberikan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di lobi Parlimen, yang turut meminta Wong supaya mengkaji semula pendiriannya mahu meletakkan jawatan.
Semalam Wong berkata beliau telah menjadi "mangsa kejadian" penyebaran foto atau video separuh bogelnya, yang dipercayai disebarkan oleh bekas kekasihnya.
Media melaporkan bahawa bekas kekasihnya kini berada di luar negara.
Malam tadi kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengadakan dua mesyuarat - peringkat negeri dan peringkat kebangsaan - dari 8.30 malam tadi sehingga awal pagi ini bagi membincangkan isu Wong.
mStar Online difahamkan antara opsyen yang ditimbangkan dalam kedua-dua pertemuan itu ialah meminta Wong berundur daripada kedua-dua jawatan berkenaan.
Selangor PAS dijadual turut mengadakan mesyuarat petang ini membincangkan isu berkenaan.
Malah, Khalid yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berkata, beliau akan menghadap Sultan Selangor untuk memperjelaskan isu berkeaan dan mendapatkan pandangan baginda.
"Saya telah menerima surat daripada YB Elizabeth Wong yang mengatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Exco Selangor dan ADUN Bukti Lanjan.
"Perkembangan ini adalah sesuatu yang malang memandangkan YB Elizabeth Wong merupakan anggota Exco contoh," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan sejam yang lalu.
Bagaimanapun Khalid tidak menyatakan tarikh beliau akan menghadap Sultan Selangor.
Pagi esok, kerajaan negerinya akan mengadakan mesyuarat mingguan Exco.
SPR sedia adakan pilihan raya di 3 kerusi "Bukit"
Elizabeth Wong digesa tarik balik keputusan letak jawatan
Pada sidang media pagi tadi, Wong menawarkan diri untuk meletak jawatan dan juga mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Lanjan setelah gambar bogelnya tersiar dalam Internet.
Dengan nada sebak dan ada ketikanya menitiskan air mata, Wong menegaskan, beliau akan membincangkan soal penyerahan tugasnya itu dengan Menteri Besar.
Beliau tidak melayan soalan wartawan selepas membacakan kenyataannya.
Wong, 37, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor berkata, terdapat pihak tertentu yang mahu mencemarkan nama baiknya.
Beliau yang datang ke sidang media dengan kelihatan "ceria" menitiskan air mata ketika membacakan kenyataan satu halaman.
Ketua Penerangan Wanita PKR itu, anak kelahiran Ipoh, Perak berkata, beliau tidak melanggar sebarang undang-undang.
"Saya tak merasa malu hanya kerana saya tidak berkahwin," kata beliau sambil menambah bahawa akan kekal sebagai ahli PKR.
Wong berkata, tawarannya untuk meletak jawatan adalah untuk kebaikan parti.
"Walaupun kempen memburukkan nama saya ini ditujukan kepada saya, tapi saya sedar matlamatnya adalah untuk memburukkan Parti Keadilan Rakyat," katanya.
Wong telah membuat laporan di Balai Polis Damansara Ahad lalu.
Turut hadir pada sidang media pagi tadi ialah Naib Presiden PKR, R. Sivarasa; Setiausaha Publisiti DAP, Teresa Kok yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor; Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh dan Ketua Wanita, Zuraidah Kamaruddin, seorang lagi Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. Xavier Jayakumar dan Irene Fernandez.
Kesemua mereka yang turut memberikan pandangan mengutuk penyebaran foto dan video sedemikian.
Malah mereka menyalahkan musuh politik khususnya Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai belakang dalam usaha kotor sedemikian.
Beberapa penyokong Wong juga hadir untuk menyatakan sokongan moral kepada beliau sambil membawa poster dan sepanduk.
Malah, ketika Wong ketika memberikan sidang media, mereka menggesa dengan kata-kata "jangan letak jawatan" berulang kali.
Pada satu ketika Sivarasa meminta bertenang bagi membolehkan Wong habis membacakan kenyataannya.
Sivarasa berkata, PKR bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil di Perak, Kedah dan di Selangor jika ada, walaupun berhadapan dengan kes Wong.
BERITA TERDAHULU
PKR bincang keputusan Elizabeth letak jawatan
[DIKEMAS KINI, 2 PETANG] PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat untuk membincangkan pendirian Elizabeth Wong yang memutuskan untuk meletakkan jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan ADUN Bukit Lanjan.
"Beliau hanya menawarkan untuk melepaskan kedua-dua jawatan, bukan meletakkan jawatan.
"Beliau baru sahaja membuat pengumuman dan beliau juga sudah memaklumkan kepada kami malam tadi, kami sudah mendapat penjelasan penuh mengenai isu ini dan kami akan membuat keputusan dalam waktu terdekat," kata Naib Presiden PKR, Azmin Ali ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi.
Terdahulu pada pukul 11.40 pagi tadi, selepas dua dua hari didedahkan penyebaran gambar dan video separuh bogel, Wong mengumumkan keputusannya untuk meletakkan jawatan Exco Kerajaan Negeri dan ADUN Bukit Lanjan.
Keputusan itu dijangka membuka laluan kepada pilihan raya kecil ketiga tahun ini selepas Bukit Gantang di Perak dan Bukit Selambau di Kedah.
Wong mengumumkan pendiriannya itu pada sidang media pukul 11.40 pagi tadi di Ibu Pejabat PKR di sini.
"Saya menerima sokongan padu daripada keluarga, pemilih kawasan saya, rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, sahabat dan masyarakat umum.
"Bagaimanapun, demi kepentingan parti, saya telah memutuskan untuk menawarkan peletakan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor dan juga ADUN Bukit Lanjan," katanya dengan nada sebak manakala penyokong-penyokongnya pula mendesak beliau menarik balik keputusannya.
"Saya akan berbincang dengan Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim) untuk mengaturkan penyerahaan tanggungjawab saya dengan baik.
"Saya akan terus berkhidmat untuk rakyat dan berjuang untuk keadilan di Malaysia," kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor.
Khalid yang juga Pengerusi PKR Selangor dijadual membuat kenyataan rasmi mengenainya dalam beberapa jam lagi.
Wong, berusia 37 tahun dan masih bujang, yang memasuki dewan utama Ibu Pejabat PKR dengan ceria kelihatan sebak ketika membacakan kenyataannya.
Beberapa penyokong beliau membawa sepanduk dan poster menyatakan sokongan moral kepada beliau sambil berulang kali menggesa Wong tidak meletakkan jawatan.
Naib Presiden PKR, R. Sivarasa pula berkata, pihaknya menerima keputusan Wong dengan berat hati tetapi bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil jika diadakan.
"Kami bersedia menghadapi pilihan raya kecil di Perak, di Kedah dan juga di sini di Selangor," kata beliau yang turut hadir pada sedia media itu.
Bagaimanapun Wong yang hanya membacakaan kenyataan satu halaman tidak mengambil sebarang soalan daripada wartawan.

sumber : mstar

No comments: