Isu bahasa Inggeris: Gapena buat laporan polis esok

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), yang sebelum ini berkata mahu menyaman kerajaan berhubung dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), akan membuat laporan polis esok.


Ketua II Gapena, Prof Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, pihaknya membuat laporan polis kerana mendakwa kerajaan telah melanggar Perlembagaan Persekutuan berhubung isu bahasa dengan memperkenalkan PPSMI.


Jelas beliau pendirian Gapena yang hanya mahu membuat laporan polis dan bukannya terus mengambil tindakan mahkamah seperti yang dirancang sebelum ini selewat-lewatnya esok adalah bagi memberi ruang untuk mereka meneliti perkara itu dengan lebih mendalam.


Abdul Latiff berkata pihaknya masih mempertimbangkan tindakan berkenaan dan perbincangan serius mengenainya masih diteruskan.


"Kita akan buat laporan polis dahulu berhubung pelanggaran Perlembagaan Persekutuan.


"Isu saman kita masih bincang, tapi apa yang penting kita konsisten dalam usaha membantah PPSMI melalui laporan polis yang akan kita buat esok," katanya kepada mStar Online.


Penghujung tahun lalu Gapena menetapkan 15 Februari (esok), sebagai tempoh muktamad untuk mengambil tindakan undang-undang di mahkamah sekiranya kerajaan masih meneruskan PPSMI.


Pemilihan tarikh itu adalah sebagai simbolik kepada Perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia yang menyentuh soal kedudukan bahasa kebangsaan.


Laporan polis berkenaan akan dibuat di Balai Polis Brickfields kira pukul 11 pagi esok.


Sebelum itu satu perhimpunan aman akan diadakan pada pukul 9 pagi bertempat di rumah Gapena bagi memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin NGO dan tokoh-tokoh bahasa berdialog berhubung isu PPSMI.


Menurut Abdul Latiff perhimpunan berkenaan sudah mendapat permit polis.


"Kita ada cara kita tunjukkan bantahan secara aman, kita minta permit polis untuk berhimpun dengan baik dan sopan," katanya.


Tambah beliau Kementerian Pelajaran dan kerajaan telah melakukan kesilapan besar dengan memperkenalkan PPSMI.


"Memperkenalkan PPSMI merupakan satu kesilapan besar yang dibuat oleh kerajaan yang jelas tidak mendapat sokongan rakyat berhubung pelaksanaannya.


"Kita tak didalangi oleh mana-mana parti politik, kita bantah atas dasar tanggungjawab terhadap bahasa kebangsaan," katanya.

No comments: